Kemenangan yang agung
Maha Suci Allah pada pagi dan petang Tiada Tuhan melainkan Allah Dan tidak ada yang kami sembah kecuali hanya Allah Dengan ikhlas kami beragama kepadaNya Walau orang-orang kafir membenci Tidak ada Tuhan melainkan Allah sendiriNya Benar janjiNya, dan Dia menolong akan hambaNya Dan Dia mengusir musuh NabiNya dengan sendiriNya Tiada Tuhan melainkan Allah .
Allahu Akbar, Allahu Akbar Dan bagiNya segala puji.
Telah tiba detik kemenangan, hari di mana umat Islam seluruh dunia bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semua orang bergembira, keceriaan tergambar di setiap wajah. Akan tetapi, marilah kita merenung sejenak, apakah definisi Aidilfitri untuk kita? Adakah ia hari untuk kita memakai baju baru yang dikirimkan ibu, atau hari untuk menghadiri open house anjuran rakan-rakan? Adakah Aidilfitri satu tanda kemenangan umat Islam berjaya menahan lapar dan dahaga setelah sebulan berpuasa atau kemenangan setelah berjaya mentarbiyah diri sepanjang Ramadhan? Marilah kita jadikan Aidilfitri sebagai hari untuk kita bersama-sama memuhasabah diri dengan mengingati Allah, dan merefleksi segala amalan kita semasa Ramadhan yang telah lalu. Adakah kita benar-benar telah mentarbiyah diri semasa Ramadhan?
Disamping kita bergembira menyambut hari yang istimewa ini, marilah kita memuhasabah diri untuk menaikkan kembali semangat kita untuk terus berjuang.
Masihkah kita ingat Dahulu sewaktu kita sendiri Dahulu sewaktu mata masih terpejam Dahulu sewaktu telinga masih tertutup Dahulu sewaktu lidah masih kelu . Kita meraba-raba mencari Cahaya datang melayang Kebenaran memunculkan diri Hidayah datang mengetuk perasaan . Apabila kesedaran tiba Kita bersama mereka Kita berusaha Kita menempuh segala onak duri Kita bangun apabila jatuh . Tapi apa yang terjadi Apabila tumpuan mula berubah Apabila hasil tidak menjadi Kita salahkan diri Kita berputus asa . Adakah sekarang kita penat Adakah masih tidak cukup segala nikmat Adakah kita lupa apabila Allah mempersatukan hati-hati kita Sedangkan kita berada di jurang pintu neraka . Berusahalah wahai daie-daie Bangunlah wahai pendakwah Bangkitlah wahai insan kamil . Jika iman masih tebal di dadamu Jika neraca Allah masih menjadi peganganmu Janganlah kita berputus asa Untuk mengejar mardhatillah .Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, karena orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti. [Al Anfal 8:65]
Jika kita lihat kisah para sahabat, ketika Amru Ibn Aash memimpin tentera Islam untuk memasuki negeri Mesir yang pada ketika itu diduduki oleh tentera Rom, beliau meminta bantuan bala tentera sebanyak empat ribu daripada Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab untuk memperkuat pasukan. Umar RA mengirim empat orang komandan dan ia juga menulis surat yang isinya : Aku mengirim empat orang sahabat yang terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang.
Tahukah anda siapa empat orang komandan itu? Mereka adalah Al Miqdad Ibn Aswaad, Muhammad Ibn Musa’lamah, Zubair Bin Al Awwam, dan Ubaid Bin Samid. Ketika menghadapi benteng Babylon, kaum muslimin sukar membuka dan menguasainya. Azzubair RA memanjat dinding benteng dengan tangga lalu berseru “Allahu Akbar” dan disambut dengan kalimat tahuid oleh pasukan yang berada diluar benteng. Hal ini membuat pasukan musuh gentar, panik dan meninggalkan pos-pos pertahanan mereka, para sahabat ini beserta tentera Islam yang lain bergegas membuka pintu gerbang dan memasuki kota, maka tercapailah kemenangan yang gilang gemilang pada kaum muslimin.
Tidakkah kita mahu menjadi seperti para sahabat ini, seorang individu yang bersamaan dengan seribu orang pejuang. Para pejuang yang membenarkan kalimah tauhid dengan sebenar-benarnya. Marilah kita berusaha untuk mencapai kemenangan yang agung seperti firman Allah dalam surah Al-Buruj:
Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, itulah kemenangan yang agung.[Al-Buruj 85:11]
Salam Aidilfitri.
Oleh: Noor Ruzaini Adam
Penolong Setiausaha ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand
![10M6 [Desktop Resolution]](http://ismanewzealand.com/v1/wp-content/uploads/2010/09/10M6-Desktop-Resolution.jpg)


