Kem Utaqa’ didik peserta berlumba-lumba dalam amal kebaikan
MESIR, 8 September – “Sebagaimana sepanjang bermukhayyam ini, kita hidup dalam suasana tanafus, taawun dan tanasuh, begitu juga perlu untuk kita wujudkan suasana ini dalam kehidupan di luar dan hanya orang yang betul-betul yakin ganjaran pahala di sisi Allah sahaja yang akan tanafus atau berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan,” tegas Saudara Muhamad Hafiz bin Khairudin, ahli jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Kem Utaqa’ ISMA-Mesir bagi tahun 2010 bersamaan 1431 H. Utaqa’ membawa maksud mereka yang mendapat pembebasan (dari api neraka).
Dalam ucapannya juga, Saudara Hafiz turut mengingatkan kepentingan membina ruh atau jiwa yang lasak agar mampu melahirkan generasi yang mampu menanggung beban dan amanah dakwah yang besar.
Turut hadir berucap ketika majlis penutup, Saudara Ahmad Syamil bin Esa selaku urusetia Kem Utaqa’ 2010. Dalam ucapannya, beliau berkata, ‘’Apa yang kita lalui adalah proses tarbiyyah yang berterusan bertujuan membina diri supaya mampu melonjak lebih jauh”.
Kem Utaqa’ ISMA-Mesir secara rasmi melabuhkan tirainya pagi ini, merupakan program tahunan anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-Mesir) bersempena 10 hari terakhir di bulan Ramadhan.
Kem yang diadakan bertujuan menyediakan persekitaran yang dapat membantu para peserta merancakkan amal ibadah di malam-malam terakhir Ramadhan ini disertai hampir 70 orang peserta dari pelbagai jurusan pengajian dan kawasan termasuk Tanta, Mansurah dan Iskandariah.
Berbanding sebelum ini, kem yang julung kali menggunakan nama Kem Utaqa’ ini menampilkan beberapa kelainan. Antaranya adalah penambahan slot-slot pengisian termasuk slot Khawatir Quran yang membawa para peserta memahami dan menghayati makna beberapa juzuk terakhir dalam al-Quran. Ini dapat membantu para peserta untuk lebih khusyuk ketika mendengar bacaan Al-Quran oleh Imam dalam solat terawih dan qiamullail.
Selain itu, buat pertama kalinya juga diadakan pertandingan tilawah al-Quran sepanjang bermukhayyam bagi mewujudkan suasana berlumba-lumba dalam amal ibadat terutama tilawah al-Quran. Team memasak turut diwujudkan pada tahun ini bagi membantu para pesertauntuk lebih fokus dalam menambah amal ibadat.
Sepanjang 7 hari, jadual para peserta dipenuhkan dengan slot pengisian dan tilawah al-Quran pada sebelah siang selain waktu rehat yang mencukupi. Sementara pada sebelah malam pula, para peserta menghabiskan sebahagian besar waktu beriktikaf di masjid untuk solat terawih dan Qiamullail seawal jam 1.00 pagi diikuti iktikaf selepas solat Subuh sehingga waktu Dhuha.
Sebelum bersurai, para peserta diberi peluang melahirkan perasaan masing-masing serta harapan sepanjang bermukhayyam dalam sesi muhasabah yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Irfan bin Mohd Salmi selaku Pengarah Kem Utaqa’ 2010.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir


