|

Kekalkan momentum Ramadhan dengan puasa 6 hari di bulan Syawal

Pendang, 5 September – “Bagi mengelak dari pahala Ramadhan yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh lebur dalam sekelip mata, umat Islam dianjurkan agar menghidupkan malam hari raya dengan solat-solat sunat dan aktiviti zikrullah bagi mengelak daripada terjebak dalam aktiviti maksiat ketika malam hari raya”, pesan Ustaz Fisol Md. Isa, Ketua Biro HRD Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kedah.

Beliau berpesan demikian dalam satu sesi tazkirah ketika program Iktikaf Perdana Ramadhan yang dianjurkan oleh ISMA Kedah bersama dengan jawatankuasa Masjid Paya Kelubi, Pendang.

“Rasulullah juga menganjurkan agar kita dapat berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal untuk mengekalkan momentum ibadah Ramadhan, dan sebaiknya dimulakan dari hari kedua Syawal lagi”, pesan beliau lagi.

Program yang disertai oleh hampir 150 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli ISMA Zon Utara dan juga penduduk Kampung Paya Kelubi ini bermula pada Asar 3 September dan berakhir pada Ahad 5 September dan telah diisi dengan sesi tazkirah, tilawah, tadarus, terawih dan qiamullail serta sesi diskusi tentang kefahaman Usul 20 Risalah Ta’alim Imam Hassan Al-Banna.

Selain itu juga program berbuka puasa bersama penduduk kampung telah dianjurkan dengan kerjasama AJK masjid.

Sumber: Blog ISMA Kedah