Jangan biar orang lain tentukan agenda kita – Zaim Shaari
En. Zaim Shaari berkongsi pengalaman beliau berada di Gaza.
Seremban, 29 Ogos – “Walau sesusah mana pun kehidupan yang kita terpaksa lalui, jangan sekali-kali kita meninggalkan agenda perjuangan yang telah digariskan, apatah lagi membiarkan orang lain menentukan agenda dan hala tuju hidup kita,” tegas En. Zaim Shaari, ahli Jawatankuasa Pusat ISMA.
Menurut beliau yang juga merupakan ahli ISMA Cawangan Seremban, itu adalah antara pengajaran yang boleh kita contohi daripada perjuangan umat Islam di Palestin pada hari ini.
En. Zaim berkata demikian semasa sesi perkongsian pengalaman peribadi beliau ke Gaza baru-baru ini dalam Majlis Iftar ISMA Bersama Masyarakat anjuran ISMA Seremban yang telah diadakan di Masjid Nurul Hidayah, Taman Seremban Jaya.
Beliau adalah salah seorang daripada tiga ahli ISMA yang terlibat dalam misi kemanusiaan Aman Palestin bulan lepas untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Misi kemanusiaan ini diketuai sendiri oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin yang juga Presiden ISMA.
Rombongan tersebut telah berjaya masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah bersama bantuan bernilai USD 150,000 yang berupa ubat-ubatan, susu bayi serta persediaan untuk menyambut Ramadhan bagi seluruh muslimin yang berada di bumi Gaza.
Selain menghantar bantuan kemanusiaan, mereka juga sempat melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Palestin, Ismael Haneeya di rumah beliau serta mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di sana.
Atas prinsip perjuangan dan maruah diri, umat Islam di Palestin tidak sekali-kali tunduk kepada desakan Israel dan sekutu-sekutunya meskipun mereka terpaksa hidup dalam kesulitan dan penderitaan akibat tekanan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel.
“Sepanjang berada di Gaza, saya tidak pernah walau sekalipun melihat warga Palestin yang meminta-minta atau mengemis di tepi jalan,” ujar En. Zaim lagi.
Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA


