ISMA Seremban hulur sumbangan Semai Kasih kepada ibu-ibu tunggal
Seremban – Kira-kira 30 buah keluarga yang terdiri daripada golongan ibu tunggal dan fakir miskin dari sekitar Sikamat telah menerima sumbangan Semai Kasih daripada ISMA Seremban sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian, makanan dan wang tersebut telah disampaikan oleh YDP ISMA Seremban, Ustaz Mohd Azizee Hasan dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Kariah Sikamat yang turut dijayakan dengan kerjasama pihak masjid.
Dalam ucapannya, Ustaz Azizee memberitahu bahawa Program Semai Kasih ini adalah acara tahunan ISMA Seremban di bulan Ramadhan bagi menggalakkan masyarakat bersedekah. ISMA memainkan peranan untuk mengumpulkan sumbangan ikhlas daripada orang ramai yang ingin melakukan amal jariah tetapi tidak tahu cara atau tidak punya masa, seterusnya menyalurkan sumbangan tersebut kepada golongan yang memerlukan.
Menurut beliau lagi, ISMA Seremban memperuntukkan hampir RM15,000 untuk program pada tahun ini yang telah diperuntukkan untuk golongan ibu tunggal, fakir miskin, pesakit di hospital serta mereka yang bermusafir.
Selain Masjid Kariah Sikamat, para ahli dan sukarelawan ISMA telah melaksanakan Program Semai Kasih ini di Hospital Tuanku Jaafar, Stesen Bas Terminal One dan Stesen Komuter Seremban sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.
Nazir Masjid Kariah Sikamat, Ustaz Hj. Jamil bin Wahab dalam ucapannya mengalu-alukan usaha murni yang dilakukan oleh ISMA Seremban ini, yang mana merupakan program ketiga ISMA di masjid ini selepas Malam Air Mata Palestin dan Seminar 60 Tahun Pasca Tragedi Natrah.
Program Semai Kasih ini juga telah diserikan dengan majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh ahl-ahli ISMA, jemaah masjid dan para penerima sumbangan.
Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan


