|

ISMA Sarawak gerakkan Kempen Ramadhan Untuk Palestin

Penyerahan cenderahati oleh Ustaz Nazri kepada salah satu sekolah yang terlibat.

KUCHING, 6 September – Para aktivis ISMA Sarawak telah membantu menjayakan Kempen Ramadhan Untuk Palestin (KRUP) yang dilancarkan oleh Aman Palestin dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Negeri. Walaupun baru bertapak di Bumi Kenyalang, Aman Palestin Berhad cawangan Sarawak telah mengambil langkah yang progresif dengan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak untuk melancarkan kempen selama sebulan ini.

Bagi memudahkan pengurusan, kawasan-kawasan di Sarawak telah dibahagikan kepada 3 zon utama iaitu Zon Selatan meliputi bahagian Kuching dan Samarahan (16 buah sekolah), Zon Tengah iaitu bahagian Sibu (4 buah sekolah) dan Zon Utara iaitu bahagian Limbang (1 buah sekolah).

Dalam tempoh sebulan Ramadhan kali ini, Aman Palestin dengan bantuan aktivis-aktivis ISMA Sarawak telah berjaya mengumpul kutipan sumbangan sejumlah RM14,707.45 daripada 21 buah sekolah di seluruh Sarawak yang mengambil bahagian.

Seramai 35 orang aktivis ISMA Sarawak telah menjadi sukarelawan Aman Palestin bagi menjayakan kempen tersebut yang terdiri daripada ahli-ahli ISMA Sarawak dan para pelajar IPT tempatan. Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya berada di Zon Selatan. Hanya seorang sahaja sukarelawan yang ditempatkan di Limbang iaitu Ustaz Salahuddin yang juga berkhidmat sebagai guru di SMKA Limbang. Manakala, 3 orang sukarelawan pula ditempatkan di Sibu.

Pada 3 September yang lepas, Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan Untuk Palesin telah disempurnakan di Sekolah Menengah Teknik Sejingkat yang turut dihadiri oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Tuan Haji Mortadza bin Haji Alop, Perunding Aman Palestin Berhad cawangan Sarawak yang juga YDP ISMA Sarawak, Ustaz Mohd Nazri bin Mohd Nor dan Pegawai Pelajaran Daerah Kuching, Encik Bedui bin Une.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Pengetua SMT Sejingkat, Encik Abdul Munap bin Syaikh Abdul Kadir, ahli-ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin Berhad cawangan Sarawak, guru-guru, para sukarelawan dan para pelajar. Bersempena majlis berkenaan, Aman Palestin juga turut mengadakan tayangan perdana Untukmu Palestin serta pameran dan jualan mini yang diadakan di Dewan Integrasi di sekolah tersebut.

Majlis itu dihangatkan lagi dengan persembahan deklamasi puisi yang penuh bertenaga dan menyentuh hati oleh Penyelaras Program KRUP, Saudara  Abdul Gafar bin Mahadi dan persembahan oleh kumpulan AQRAB yang mendendangkan dua lagu puisi secara medley yang berjudul “Bingkisan Doa Buat Gaza”. Majlis diakhiri dengan penyerahan cek dan cenderamata.

“Isu kemanusiaan ini bukan sahaja untuk umat Islam, bahkan ia merentasi sempadan agama dan bangsa”, tegas Ustaz Mohd Nazri selaku YDP ISMA Sarawak dan Perunding Aman Palestin cawangan Sarawak dalam ucapannya.

Saudara Abdul Gafar pula melahirkan harapan agar kempen seumpama ini menjadi “good basis” (asas yang baik) bagi memberi kesedaran dan pendidikan yang berterusan kepada para pelajar untuk menanamkan sikap kepedulian terhadap nasib saudara-saudara kita di Palestin.

“Semoga pengalaman pertama ini sebagai suatu permulaan untuk kita lebih maju dalam memperjuangkan isu Palestin ini di negeri Sarawak”, ujar beliau.

2 Komen untuk entri “ISMA Sarawak gerakkan Kempen Ramadhan Untuk Palestin”

  1. AN says:

    Moga ISMA terus berjuang menyampaikan Islam di bumi Sarawak. :)

  2. Kh says:

    Semoga lebih ramai masyarakat menyedari isu umat ini