DASAR II kumpulkan ahli-ahli ISMA Sarawak
Kota Samarahan, 22 Ogos – Daurah Tarbawi Sarawak kali ke-2 atau ringkasnya DASAR II, anjuran ISMA Sarawak telah selamat diadakan yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Azizee Hassan, wakil Biro HRD ISMA Pusat yang juga merupakan YDP ISMA Seremban. Program ini adalah lanjutan daripada DASAR 1 yang telah diadakan pada bulan April yang lalu.
Hampir 120 orang peserta telah hadir memenuhi Dewan Suarah di sini. Program yang diadakan di dalam bulan Ramadhan ini sememangnya menuntut kesungguhan daripada setiap peserta.
Program kali ini amat bermakna kerana kehadiran peserta meliputi hampir daripada seluruh negeri Sarawak. Antaranya ialah Ustaz Solahuddin dari Limbang, Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad dari Sibu, Saudara Adha dari Belaga, akhawat dari Bintulu dan lain-lain kawasan di seluruh negeri Sarawak.
Menurut pengarah program Encik Abdul Mun’aim bin Idrus, “Program ini diadakan adalah sebagai ruang pengukuhan ukhuwwah di kalangan ahli ISMA di Bumi Kenyalang yang luas ini dan pada masa yang sama menjadi medan untuk memperkukuhkan fikrah ISMA dan dakwah di Bumi Kenyalang”.
Peluang yang jarang-jarang sekali untuk bertemu sesama ahli ISMA Sarawak ini telah digunakan oleh peserta untuk bertanya khabar dan mengetahui perkembangan masing-masing.
Pengisian yang bertenaga oleh Ustaz Azizee menyebabkan program menjadi menarik walaupun dibuat di bulan puasa. Selain daripada ceramah, antara aktiviti lain yang dijalankan ialah solat terawih berjemaah, qiamullail, sesi perkenalan di kalangan ahli ISMA, tazkirah Ramadhan dan Zakat Fitrah, iftar jamai’e dan lain-lain.
Penutup program ini telah disempurnakan oleh YDP ISMA Sarawak, Ustaz Mohd Nazri bin Mohd Nor. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Biro HRD ISMA Pusat kerana tidak lupa mengambil berat kebajikan dan tarbiyyah ahli-ahli ISMA di Sarawak.



