|

Bukan Islam masuk masjid perlu jaga adab – Ustaz Azizee

Di dalam buku Fiqh Islami Wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah az-Zuhaily Juzuk 1 Terbitan Dar al-Fikr dalam bab Fi Ahkamil Masjid muka surat 393 menghuraikan seperti berikut:

Menurut pandangan Malikiyyah, dilarang orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan orang Islam kecuali disebabkan keperluan (dharurat ) satu kerja.

Abu Hanifah pula mengharuskannya bagi orang kafir memasuki masjid.

Menurut Syafieyyah pula harus bagi orang kafir memasuki masjid kecuali Masjid al-Haram dan tanah haram Mekah. Dia boleh bermalam di dalamnya sekalipun dalam keadaan berjunub menurut satu pendapat yang  paling sah (betul) tetapi dengan keizinan orang-orang Islam.

Dalam konteks apa yang terjadi pada Surau al-Huda Kajang Sentral baru-baru ini terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan iaitu:

1. Orang bukan Islam dibenarkan memasuki  masjid dan surau dengan tujuan yang baik dan bukan untuk melakukan perkara-perkara yang mengancam akidah umat Islam.

2. Orang bukan Islam hendaklah menjaga adab-adab ketika memasuki masjid seperti memakai pakaian yang bersopan dan sebagainya.

3. Jika sekiranya perbuatan tersebut boleh menimbulkan ketegangan atau salah faham maka sewajarnya menggunakan premis di luar masjid bagi mengelakkan salah tanggapan dan eksploitasi mana-mana pihak yang menyebabkan timbul kemudaratan yang lain.

4. Masjid adalah tempat ibadah dan sewajarnya ia merupakan tempat bebas dari mana-mana sentimen politik sempit yang merugikan umat Islam.

Photobucket

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan