|

Aktivis ISMA semarak 10 malam terakhir Ramadhan di seluruh negara

Pengisian oleh Ustaz Rusdi Alias semasa Iktikaf Perdana di Masjid UIA

GOMBAK, 5 September – Bagi menyemarakkan kemeriahan 10 malam terakhir Ramadhan dan mewujudkan suasana berlumba-lumba merebut ganjaran Lailatul Qadar, cawangan-cawangan ISMA di seluruh negara telah mengadakan program Iktikaf Perdana secara serentak pada 3-5 September yang lalu.

Bagi ahli-ahli ISMA Zon Tengah, program telah dilaksanakan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini dengan disertai hampir 300 orang peserta dari cawangan Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Gombak.

Ini merupakan jumlah peserta paling ramai pernah dicapai sejak ‘pesta ibadah’ tahunan ini diadakan beberapa tahun yang lepas.

Sepanjang iktikaf berlangsung selama tiga hari dua malam, para peserta disibukkan dengan pelbagai aktiviti kerohanian seperti solat tarawih, qiamullail, tilawah Al-Quran, zikir mathurat, hafazan dan tazkirah.

Pengarah program Iktikaf Perdana ISMA Zon Tengah, Ustaz Azrin Samsudin berkata, “Sambutan yang diterima pada tahun ini melebihi jangkaan awal pihak penganjur di mana hanya mensasarkan penyertaan seramai 150 orang sahaja.”

Para peserta Iktikaf Perdana memenuhi ruang solat Masjid UIA

“Namun, penyertaan yang menggalakkan ini memberikan satu petanda bahawa ahli-ahli dari semua agensi ISMA begitu komited merebut kelebihan Ramadhan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan penyertaan majoriti dari golongan belia membuktikan kami berada di landasan yang tepat seiring slogan Membina Generasi Harapan,” tambah beliau lagi.

Amalan ini juga selari dengan sunnah Rasulullah s.a.w. yang beriktikaf di malam-malam terakhir Ramadhan bersama ahli-ahli keluarga baginda.

Selain ahli-ahli ISMA, turut serta ialah ahli-ahli Persatuan Belia Nasional (PEMBINA) dan Kelab Remaja ISMA (KRIM)  serta masyarakat setempat.

Di Negeri Sembilan, ahli-ahli ISMA dari cawangan Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah berkumpul di Masjid Jamek An-Nur, Rembau bagi menghidupkan program Iktikaf Perdana.

Selain aktiviti-aktiviti kerohanian, program kali ini turut diisi dengan penyampaian oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA berkisar Manhaj Taghyir (Perubahan) ISMA,

Program yang menghimpunkan lebih 80 orang peserta termasuk masyarakat setempat dan kanak-kanak ini juga diserikan dengan majlis berbuka puasa dengan kerjasama pihak masjid.

Para peserta Iktikaf Perdana di Masjid Paya Kelubi

Di utara tanahair pula, ISMA Kedah telah menganjurkan program yang sama di Masjid Paya Kelubi, Pendang dengan kerjasama jawatankuasa masjid.

Program disertai hampir 150 peserta yang terdiri dari ahli-ahli ISMA Zon Utara dan juga penduduk Kampung Paya Kelubi, dan turut diselitkan dengan sesi diskusi tentang kefahaman Usul 20 Risalah Ta’alim Imam Hasan Al-Banna.

Di Perak, aktivis-aktivis ISMA Perak telah menjayakan program Iktikaf Perdana anjuran PEMBINA Perak yang telah berlangsung di Masjid Negeri, Ipoh.

Bertemakan “Pemuda: Membina Generasi Muttaqin & Pewaris Kemuliaan Masjidil Aqsa”, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Aman Palestin ini turut dimeriahkan dengan pengisian ceramah Palestin.

Program Iktikaf Perdana ini juga telah diadakan oleh cawangan-cawangan ISMA yang lain di dalam dan luar negara.

Para peserta mengambil kesempatan sempena program ini untuk bersuai kenal di samping mengeratkan lagi hubungan sesama ahli-ahli ISMA.

Semoga Ramadhan kali ini mampu membentuk peribadi yang bertaqwa sejajar dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah ayat 183, “Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana umat yang terdahulu. Moga-moga kamu bertaqwa.”

2 Komen untuk entri “Aktivis ISMA semarak 10 malam terakhir Ramadhan di seluruh negara”

  1. Ikram says:

    Syabas cawangan-cawangan ISMA seluruh negara! Teruskan membina generasi harapan!

  2. dari jauh says:

    Alhamdulillah.. teruskan usaha untuk tegakkan syiar Allah di muka bumi ini..