Ustaz Abdullah Zaik ketuai misi kedua Aman Palestin ke Gaza
Bandar Baru Bangi, 6 Ogos – Presiden ISMA yang juga Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman akan mengetuai misi kemanusiaan Aman Palestin ke Gaza yang dijadualkan bertolak daripada tanahair esok (7 Ogos).
Rombongan seramai 6 orang ini turut melibatkan dua orang ahli ISMA yang lain iaitu Haji Abdul Rahman bin Mat Dali (Timbalan Presiden) dan Encik Zaim bin Shaari (AJK Pusat).
Selain ahli-ahli ISMA, misi kemanusiaan ini juga disertai oleh para petugas dan sukarelawan Aman Palestin, pihak media dan individu perseorangan.
Misi kali ini adalah susulan daripada kejayaan misi sebelum ini yang telah berjaya membawa masuk bantuan dalam bentuk ubat-ubatan dan susu bayi melalui pintu masuk Rafah pada 26 Jun yang lepas.
Menurut Ustaz Abdullah Zaik, mereka berharap dapat membawa masuk bantuan bernilai hampir RM 500,000 yang merupakan sumbangan ikhlas daripada rakyat negara ini yang bersimpati dengan penderitaan penduduk Palestin.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di pejabat Aman Palestin di sini hari ini.
Aman Palestin juga akan sentiasa komited dalam mendokong dan menyokong perjuangan rakyat Palestin yang berterusan ditindas oleh rejim Zionis Israel, tambah beliau.
Justeru itu, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tampil untuk menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin. Bantuan kepada Aman Palestin boleh disalurkan melalui cek atas nama Aman Palestin Berhad atau terus masukkan ke akaun Bank Islam (12029010047880) atau Maybank (562263010787).


