Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-53
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-53 kepada semua warganegara Malaysia khususnya umat Islam di seluruh tanah air.
Merdeka bagi kita adalah kebebasan untuk melaksanakan hak-hak dan tuntutan Islam tanpa ada sebarang halangan dan kekangan baik dari dalam diri sendiri mahupun dari suasana persekitaran. Seorang panglima Islam terkenal Rubie bin Amir ketika berhadapan dengan panglima tentera Rom Rustum menjelaskan bahawa agama Islam datang untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada pengabdian sepenuhnya hanya kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Begitulah kemerdekaan pada hakikatnya.
Sebagai rakyat Malaysia kita bersyukur kerana kita bebas dari penjajahan kuasa asing. Namun begitu perjuangan mencari kemerdekaan hakiki harus diteruskan sehinggalah ummah bebas melaksanakan tuntutan Islam, menolak segala ideologi yang bertentangan dengan Islam, membuang segala belenggu yang mengaburi minda umat Islam. Begitu juga perjuangan perlu diteruskan demi menjaga hak dan maruah umat Islam yang semakin terhakis.
Bagi mencapai hasrat ini, ISMA menyeru agar semua umat Islam meletakkan kepentingan Islam di depan berbanding kepentingan-kepentingan lain. Kesepakatan harus dibentuk untuk mempertahankan hak-hak dan mendaulatkan Islam. Dengan bersepakat kita mampu membuktikan kekuatan umat Islam dan merealisasikan kebaikan Islam yang sebenar. Peranan ini turut sama perlu dimainkan oleh saudara-saudara seagama kita dari kaum-kaum yang lain.
Semoga hakikat kemerdekaan ini dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, golongan remaja, belia, golongan intelek, pimpinan masyarakat dan seluruh warganegara khususnya yang beragama Islam. Semoga hari-hari Ramadhan yang kita lalui benar-benar menjadikan kita seorang individu yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.


