NGO berperanan dalam pembangunan masyarakat
Ayer Paabas – Masalah gejala sosial yang meruncing dalam masyarakat kita pada hari ini terutamanya di kalangan remaja memerlukan semua pihak berganding bahu dan mengembleng tenaga ke arah melahirkan generasi muda yang berkualiti tinggi.
“Saya sedih melihat keadaan remaja sekarang yang begitu ramai terjebak dalam masalah gejala sosial. Baru-baru ini, hampir setiap hari kita dapat lihat di dalam akhbar atau televisyen adanya kes pembuangan bayi termasuklah di Melaka. Jika situasi keruntuhan akhlak dan moral remaja ini berterusan, siapakah yang bakal memimpin masyarakat dan negara pada masa hadapan”, kata Yang Berhormat Taboh Naning, Datuk Latifah Omar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program “Semarak Ramadhan 1431H” di Masjid Saga, Kampung Ayer Pa’abas, Alor Gajah. Program anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan JKKK Kg Ayer Pa’abas berjaya mengumpul seramai 400 orang yang terdiri daripada penduduk kampung, ahli dan sukarelawan ISMA dan PEMBINA serta pelajar MRSM Alor Gajah.
Beliau amat mengalu-alukan “NGO-NGO” seperti ISMA ini untuk mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan Taboh Naning. Beliau turut melahirkan harapan agar hubungan ini tidak akan terhenti di sini sahaja malah akan berterusan selepas bulan Ramadhan.
Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Penghulu Taboh Naning, Hj Zulkifli M Tahir, Pengerusi JKKK Ayer Pa’abas, Hj Maarof Mat Som, Yang Dipertua ISMA Melaka, Ust Ahmad Zainal Abidin dan Pengetua MRSM Alor Gajah, Hj Satari Hashim.
Datuk Latifah juga sempat menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada jawatankuasa masjid sebelum beredar meninggalkan majlis bagi menghadiri satu lagi program di Taboh Naning.
Sumber: Laman Web ISMA Melaka

