|

Majlis Iftar Perdana ISMA SAK serikan Ramadhan

SHAH ALAM, 22 Ogos – Hampir tiga ratus orang hadir ke Majlis Iftar Perdana anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Shah Alam & Klang memenuhi Dewan Meranti Seksyen 19 sempena bulan Ramadhan ini.

Setiausaha Biro Pembangunan Sumber Cawangan Shah Alam & Klang, Encik Zainuddin Ghaffar, “Usaha program sebegini diadakan adalah untuk merapatkan ukhuwwah sesama ahli dan masyarakat setempat selain merebut pahala di bulan Ramadhan ini.

Selain itu, kerjasama dalam konteks yang lebih besar diterjemahkan melalui agihan makanan secara potluck dan juga gotong royong secara rewang menyediakan juadah berbuka.” kata beliau lagi.

Imam solat terawih pada kali ini diimamkan dikalangan anak-anak muda seawal usia 16 tahun dan ditambah seri dengan pengisian tazkirah oleh Ustaz Rusdi Alias, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Pusat.

Menurut Nazri Rashid, salah seorang hadirin yang hadir di sini berkata, majlis sebegini cukup bermakna bagi beliau kerana bukan sahaja dapat menjalin kenalan baru, malah dapat bertemu semula kenalan yang telah lama tidak bersua kerana kesibukan bekerja atau telah berpindah ke kawasan baru.

Turut hadir ke majlis ini ialah Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Encik Mohd Harris Bakar dan Yang Dipertua ISMA Shah Alam & Klang, Dr Amirudin Wahab.