Kenyataan dangkal Soi Lek dedah dasar perjuangan beliau
Kenyataan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek baru-baru ini yang menyalahkan Islam kerana negara tidak maju jelas menunjukkan dasar perjuangan politik beliau yang bersifat sekular dan mahu mengikis penggunaan nilai-nilai agama khususnya Islam dalam urusan politik dan pentadbiran negara.
Menurut Soi Lek, penggunaan Islam oleh UMNO telah menyebabkan beberapa dasar dan polisi yang dibuat oleh kerajaan kurang berkesan, lalu mengakibatkan negara terperangkap menjadi negara berpendapatan sederhana selama 10 tahun.
Kenyataan ini dibuat dalam Konvensyen Tahunan MCA ke-33 di Alor Setar, Kedah pada 6 Ogos yang lepas.
Mengulas tentang isu ini, Tuan Haji Aminuddin Yahaya (Setiausaha Agung ISMA) berkata perkara ini menampakkan kedangkalan fahaman Soi Lek terhadap Islam selain keinginan untuk mengekalkan politik sekular yang memisahkannya dengan agama.
“Kenyataan ini mengelirukan masyarakat terutamanya umat Islam terhadap agama dan politik dengan mendakwa bahawa politik yang berlandaskan agama akan hanya melemahkan negara. Sedangkan kalau kita lihat politik yang tidak diasaskan atas prinsip-prinsip yang luhur akan hanya membawa negara ke jurang yang dalam.”
Menurut Tuan Haji Aminuddin lagi, kelemahan dan kemiskinan yang berlaku di negara umat Islam keseluruhannya tidak ada kena mengena dengan agama Islam.
“Mereka ini sebaliknya menerima tekanan dan sekatan dari pihak barat yang menghalang sebarang kemajuan yang ingin dicapai oleh negara-negara Islam berkenaan.”
Pada pandangan Saudara Norzafry Norhalim iaitu Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) pula, kenyataan Soi Lek ini menunjukkan usaha beliau yang terdesak untuk mengelakkan agama Islam menjadi dominan di Malaysia.
“Dengan membuat rujukan kepada negara Islam lain, Soi Lek jelas tidak mengetahui kekuatan sebenar agama Islam dalam mentadbir negara seperti yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat.”
“Apa yang ada di negara Islam lain sekarang bukanlah model sebenar sistem pemerintahan Islam. Rata-rata negara Islam seperti Arab Saudi dan Mesir telah berada di bawah pengaruh Amerika maka semestinya pentadbiran Islam tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya.”
Beliau turut melontarkan pertanyaan kepada Datuk Chua Soi Lek, adakah dengan MCA atau DAP memerintah, negara diyakini akan bebas rasuah dan lebih efisien?
“Adakah kita boleh memberi kepercayaan kepada pemimpin yang telah jelas disabitkan dengan skandal seks utk memimpin negara kita?”, tambah Saudara Norzafry lagi.
Satu hakikat yang perlu diperhatikan ialah isu ini mencerminkan titik persamaan antara agenda perjuangan MCA dan DAP meskipun mereka berada di pihak yang berbeza.
Jika sebelum ini Karpal Singh dengan keras dan lantang menolak prinsip negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS, kini Chua Soi Lek pula bersuara dengan nada yang seiringan.
Perkembangan ini juga sebenarnya menggambarkan bagaimana golongan bukan Islam sudah semakin berani untuk bersuara dalam isu-isu yang dianggap sensitif seperti kedudukan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu.
Justeru itu, umat Islam terutamanya orang Melayu seharusnya sentiasa peka dengan agenda pihak-pihak tertentu ini dan mengukuhkan kekuatan umat berlandaskan kefahaman Islam yang sahih dan kesatuan akidah yang jitu.

