|

Keistimewaan Tetamu Agung

Hari itu, sebilangan komuniti Muslim di Christchurch menunggu di atas kaki bukit Castle Hill dengan sabar. Masing-masing mencari kelibat tetamu yang dinanti. Beberapa ketika setelah matahari terbenam, seorang pemuda berkata, “Tu dia! Selamat datang Ramadhan Al-Mubarak! Saya dan rakan yang belum nampak apa-apa, menjangkakan pemuda tersebut hanya bergurau. Kemudian, seorang demi seorang mulai nampak, termasuk kami. Melihat anak bulan yang berbentuk senyuman itu, cukup menenangkan dan menimbulkan perasaan sebak di dada.

Dengan ini, bermulalah kunjungan tetamu agung dari Allah buat umat Muhammad, iaitu kedatangan bulan Ramadhan. Bulan yang dijanjikan oleh Allah dengan penuh rahmat, di dalamnya ada keampunan, pintu-pintu syurga dibukakan, pintu-pintu neraka ditutup dan dijauhkan kepada yang menyambutnya dengan kemuliaan dan keikhlasan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”  [Surah al-Baqarah ayat 183]

Mendidik sifat taqwa

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa (siyam) Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari]

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : “Sesiapa yang qiyam Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala maka diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari]

Ada dua perkara yang dapat kita simpulkan dari dua hadis diatas. Di siang hari, kita berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, menahan nafsu biologi, pendengaran, penglihatan, percakapan serta pemikiran, agar bebas dari perkara maksiat dan yang sia-sia. Di kala malam hari pula, kita lakukan ibadah sunnah lain sebagai contoh solat terawih. Amalan-amalan ini merupakan salah satu mekanisma untuk melahirkan individu yang mempunyai rasa dan nilai taqwa.

Al-Quran diturunkan

“Bulan Ramadhan yang dalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)” [Al-Baqarah: 185]

Ramadhan adalah masa untuk kita melatih diri mendekati dan menimba khazanah yang sebanyak mungkin dari Al-Qur’an sebagai petunjuk hidup. Ini haruslah terus berlanjutan setelah Ramadhan pergi, sebagai tanda keberhasilan latihan di bulan suci ini. Marilah kita membacanya, mentadabburinya, menghafalkannya dan mengamalkannya.

Terdapat Lailatul Qadar

Ramadhan juga membawa hadiah yang besar iaitu satu malam yang lebih bernilai dari seribu bulan malam iaitu Lailatul Qadar. Beruntunglah siapa yang menemuinya.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” [Surah Al-Qadr: 1-5]

Afdal berdoa

Waktu berbuka puasa pula adalah antara saat-saat afdal untuk berdoa. Maka seharunya kita rebut peluang memperbanyakkan doa kepada ibu bapa, rakan-rakan dan muslimin seluruh dunia di saat-saat menunggu masuknya azan maghrib.

“Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi” [Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih]

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak”[Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih]

Pemberi syafaat

Bukan sekadar kedatangan Ramadhan banyak keistimewaannya, malah pemergiannya pula tidak melupakan sesiapa yang memuliakannya. Ia akan datang berupa syafaat pada hari perhitungan yang sangat memerlukan pertolongan.

“Wahai Tuhanku, aku telah mencegahnya dari makan dan syahwat pada siang hari, oleh itu terimalah syafaatku untuknya” (H.R Ahmad)

Marilah kita sambut tetamu ini dengan penuh keikhlasan dalam beramal selama sebulan dengan penuh keazaman. Selain untuk meraih ganjaran yang dijanjikan Allah, bulan Ramadhan juga merupakan madrasah untuk kita melatih diri untuk membina kekuatan ruhi dalam menempuh bulan-bulan seterusnya sebelum bertemu kembali dengan bulan Ramadhan yang akan datang. Marilah kita beriltizam agar tetamu agung ini akan berpuas hati dengan layanan mesra kita sehingga ia sudi menjadi syafaat kita di Yaumul Hisab. Semoga Allah melindungi kita, untuk sentiasa mampu bermujahadah meraih redhaNya.

Oleh: Ida Suzanna Hussain
Biro Akademik ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand