|

ISMA lancar Kempen Nur Ramadhan

Bandar Baru Bangi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) julung-julung kalinya melancarkan Kempen Nur Ramadhan bagi menyambut kedatangan Ramadhan pada tahun ini dalam satu majlis di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi pada 8 Ogos yang lalu.

Kempen ini merupakan salah satu usaha Sekretariat Dakwah dan Sosial ISMA dalam menyeru umat Islam agar menunaikan ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh serta mengajak umat Islam supaya benar-benar menghayati Ramadhan dan menunaikan puasa dengan penuh keimanan, keikhlasan dan pengharapan dari Allah s.w.t.

“Di dalam bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran, pada masa yang sama, bulan ini juga mewarnai peristiwa-peristiwa besar dalam Islam”, kata Ustaz Mohamad bin Ismail selaku Ketua Sekretariat Dakwah dan Sosial ISMA dalam ucapan perasmian beliau.

“Dalam bulan Ramadhan juga terdapat banyak keistimewaan-keistimewaan, seperti ibadat puasa itu sendiri”.

Majlis dihadiri oleh para ahli ISMA dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dari sekitar Bandar Baru Bangi serta para pengunjung Kompleks PKNS.

Turut menganjurkan majlis pelancaran ialah PEMBINA dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Hulu Langat.

Dalam majlis tersebut, Kumpulan Sohwah dari PEMBINA telah menyampaikan beberapa lagu nasyid, deklamasi sajak “Andai ini Ramadhan Terakhir” oleh Siti Aishah Abdul Rahim dari PEMBINA dan diakhiri dengan pidato Ramadhan oleh Ustaz Mukram bin Dato’ Mohd Taib dari ISMA Cawangan Hulu Langat.

ISMA juga mengedarkan jadual waktu berbuka puasa dan tips-tips Ramadhan kepada semua orang ramai yang hadir.

1 Komen untuk entri “ISMA lancar Kempen Nur Ramadhan”