|

Ihya’ Ramadhan ajak siswi hidupkan Ramadhan

ISKANDARIAH, 26 Julai – Sempena menanti kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, Biro Sukan dan Aktiviti Luar ISMA-Mesir cawangan Iskandariah telah menganjurkan program Ihya’ Ramadhan.

Bertemakan “Kembalikan Ramadhan Semalam”, program ini dihadiri seramai 20 orang mahasiswi Kuliah Syariah Islamiyah Al-Azhar dan Kuliah Perubatan Universiti Iskandariah.

Majlis dimulakan dengan doa dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada surah Al-Baqarah: 183-187 sebagai pembuka tirai majlis. Majlis diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Siti Rodhiah binti Othman, bertajuk “Ramadhan”. Tazkirah menyentuh tentang kelebihan bulan Ramadhan dan bagaimana untuk mengembalikan Ramadhan semalam, sejajar dengan tema Ihya’ Ramadhan.

Acara kemuncak majlis adalah penyediaan Shantah Ramadhan yang akan diagihkan kepada mahasiswi Malaysia sekitar Iskandariah. Shantah-Ramadhan ini merupakan sumbangan ikhlas daripada ISMA-Mesir sebagai menambahkan lagi kemeriahan amal di bulan Ramadhan yang mulia.

Secara keseluruhan, majlis ini telah berjaya mendidik peserta yang hadir dalam memperbanyakkan sedekah malah berlumba-lumba dalam melaksanakan amalan-amalan kebaikan yang lain.

Sumber: Laman Web ISMA-Mesir Cawangan Iskandariah