Iftar Jamaie ISMA-Mesir (Mansurah) bina ukhwah
Ustaz Mohd Isfahmi menyampaikan tazkirah beliau.
Mansurah, 22 Ogos – Waktu berbuka ialah salah satu kegembiraan yang dijanjikan dalam hadis Rasulullah SAW bagi mereka yang berpuasa. Selain itu, Rasulullah SAW juga ada bersabda bahawa mereka yang memberi makan orang yang berpuasa akan memperoleh kadar pahala yang sama tidak kurang walau sedikit pun.
Oleh sebab itu, ISMA-Mesir (Mansurah) turut tidak melepaskan peluang pada bulan mulia ini dengan menganjurkan majlis Iftar Jamaie. Selain untuk merebut ganjaran yang dijanjikan, majlis ini turut bertujuan untuk merapatkan ukhwah antara mahasiswa di sini. Seramai lebih daripada 20 orang mahasiswa telah menghadiri majlis ini yang bertempat di Villa Kita.
Majlis ini dikendalikan oleh saudara Muhammad Bin Ali dan bermula dengan berbuka ringan serta solat maghrib berjemaah. Kemudian, sesi taaruf ringkas diadakan sebelum tetamu dihidangkan dengan juadah berat. Majlis diakhiri dengan tazkirah tentang Perang Badar yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Isfahmi Bin Mohd Nordin
Dalam tazkirah itu, beliau telah mengajak tetamu agar mengimbau kembali sejarah Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadan tahun kedua hijrah. Beliau turut membangkitkan persoalan kaitan antara Ramadan, Badar dan diri-sendiri.
Beliau menjelaskan bahwa Perang Badar ialah ujian daripada Allah kepada para sahabat, umpama sebuah kilang yang melahirkan suatu generasi harapan yang teguh imannya.
Bulan Ramadan pula ialah madrasah untuk membina ketaqwaan dan ibadat yang dilaksanakan pada bulan ini umpama satu latihan bagi membiasakan diri agar dapat dilakukan pada bulan-bulan seterusnya.
Majlis ini berakhir sebaik sahaja azan isyak berkumandang iaitu kira-kira pada pukul 7.50 malam.


