Ayah dan ibu
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan kepadanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.” (Al-Isra’:23)
Sepotong ayat yang cukup cantik dan tidak sukar difahami oleh setiap insan yang membacanya. Tidak memerlukan seseorang yang berpendidikan tinggi untuk menafsirnya, namun begitu masih ramai umat Islam yang membacanya hanyalah sekadar membaca, tanpa ada rasa ingin menghayati ayat-ayat suci Al-Quran yang dibaca.
Masih ingat lagikah kita pada peristiwa tahun lepas bagaimana pasangan warga emas terpaksa memfailkan tuntutan di mahkamah apabila anak mereka tidak menunaikan hak sebagai seorang anak kepada ibu bapa. Bukan setakat hak tidak ditunaikan, malah ibu bapa turut diusir keluar dari rumah.
Cubalah kita bayangkan, bagaimana seorang anak sanggup menghalau keluar ibu bapanya dari rumah mereka sendiri sedangkan Allah SWT sendiri melarang seorang anak itu berkata walaupun “ah” pada kedua ibu bapa? Cubalah kita fikirkan sejenak di manakah tahap moral masyarakat Melayu dan Islam kita pada hari ini di tahap mana, sedangkan dalam masa yang sama Allah SWT mengarahkan hamba-Nya berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Tidak cukup dengan masalah ibu bapa dihalau keluar dari rumah dan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tidak ditunaikan, ada ayah yang turut diugut dan dikurung oleh anak-anaknya hanya kerana inginkan wang dan harta.
Ibu bapa dihalau keluar dari rumah, diugut, dikurung, dan banyak lagi layanan-layanan teruk terhadap kedua orang tua yang tidak tersiar di dalam akhbar yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini yang mana jika kita ingat kembali kenangan sewaktu kita kecil, adakah layanan-layanan sebegini yang kita terima dari dua orang insan yang sangat diangkat tinggi darjatnya oleh Allah SWT?
Islam yang kita anuti ini ialah agama yang benar dan syumul. Agama ini bukan sekadar solat lima waktu, bukan sekadar berpuasa di bulan Ramadhan, bukan sekadar menunaikan zakat, bukan sekadar menunaikan haji, bukan sekadar bersedekah, bukan sekadar berbuat baik sesama umat Islam, tetapi ianya satu agama yang sempurna mencakupi setiap aspek kehidupan bermula dari kita bangun dari tidur hinggalah kita terjaga kembali dari tidur keesokannya.
Islam yang kita anuti ini turut memerintahkan kita menjaga kedua ibu bapa dan melayan mereka dengan baik apabila usia mereka sudah lanjut. Diterangkan Allah SWT dengan jelas di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 23. Allah SWT mengajar hambanya bagaimana cara yang sepatutnya melayan kedua ibu bapa. Allah SWT menyuruh anak-anak melayan ibu bapa dengan baik dan bukannya berkata kasar pada mereka. Malah Allah SWT turut mengajar kita bagaimana cara mendoakan kedua ibu bapa di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-24,
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua mendidik aku pada waktu kecil.” (Al-Isra’:24)
Allah SWT turut berfirman di dalam Surah Luqman ayat ke-14;
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.” (Luqman:14)
Rasulullah SAW turut menuntut umatnya agar sentiasa berlaku baik terhadap kedua ibu bapa;
Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW bersabda: “Sungguh kecewa, sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa, siapa yang mendapatkan kedua ayah ibunya atau salah satunya sampai tua, kemudian ia tidak masuk syurga” (Hadith riwayat Muslim).
Hadith di atas menggambarkan bagaimana mudahnya seseorang itu untuk masuk syurga, tetapi dengan syarat, dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan dia turut mendapat doa dan keridhaan dari kedua orang tuanya.
Ridha dari kedua ibu bapa hanyalah boleh kita kecapi jika mereka merasa puas dan seronok dengan layanan yang kita berikan semasa hayat mereka. Bagaimanakah nasib kita di akhirat kelak jika kedua ibu bapa tidak meredhai layanan yang kita berikan semasa hayat mereka di dunia? Marilah sama-sama kita renungkan.
Sibuk dengan kerja, keluarga, program atau dakwah sekalipun bukanlah alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai anak kepada kedua ibu bapa kerana tanggungjawab mereka membesarkan kita tidak pernah sedikitpun diabaikan. Jikalau sibuk sekalipun, nasihat yang dapat diberikan, susunlah urusan kehidupan masing-masing agar masa bersama ibu bapa tetap ada.
Tidak kira apa pun pangkat kita, jawatan kita, sampai mana tahap pengajian kita, berapa kayanya kita, besar macam mana pun rumah kita, tetapi jika layanan teruk yang kita berikan terhadap kedua ibu bapa kita, percayalah akan ada balasan yang setimpal menanti kita di hari pembalasan kelak. Hayati nasihat ini sebelum kedua ibu bapa kita menghembuskan nafas mereka yang terakhir.
Oleh: Ahmad Zikri Zainudin
Setiausaha ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand




