|

Terima kasih Aman Palestin

Pada hari Isnin 5 Julai 2010 yang lalu, rombongan Aman Palestin (Malaysia) diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman merangkap Presiden ISMA, telah berjaya membawa masuk bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia bernilai USD100,000.00 ke dalam bumi Gaza yang dikepung Yahudi Israel dan kuasa-kuasa Barat.

Kepungan mula dilakukan oleh Israel apabila rakyat Palestin memilih HAMAS di dalam Pilihanraya Umum 2006 lalu. HAMAS tidak mengiktiraf “negara I.s.r.a.e.l” dan bermatlamatkan untuk membebaskan kesemua inci tanahair Islam yang diperintah oleh orang-orang Yahudi tajaan Barat itu. Seperti di Iraq, di mana sekatan ekonomi 13 tahun (1990-2003) yang melumpuhkan kekuatan umat diakhiri dengan serangan bersenjata yang membunuh ratusan ribu nyawa dan penjajahan ke atas bumi Iraq, setelah 2 tahun sekatan ke atas Gaza, Israel menyerang secara bersenjata melalui udara, laut dan darat bertujuan membunuh seramai mungkin umat Islam dan menjajah semula tanahair Islam dan menutup fail Gaza di akhir penggal Presiden Bush, sebelum Presiden Obama memulakan tugasnya. “Mereka merencana, Allah merencana dan Allah sebaik-baik perencana”. Gaza tetap utuh sehingga ke hari ini.

Sumbangan rakyat Malaysia bernilai USD100,000.00 (RM335,000) yang tiba dan masuk ke dalam Gaza menunjukkan pertembungan ini bukan semata-mata pertembungan Palestin-Israel, akan tetapi ianya pertembungan umat Islam vs kuasa-kuasa Barat, Yahudi dan Nasrani.

Semoga Allah swt memulihkan terus keadaan umat Islam, mengembalikan kekuatan kesatuan dan persenjataan mereka dan mengagungkan kembali umat yang diredhaiNya ini. Ameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku