|

Seminar Kerjaya KRIM NS: Satu permulaan gemilang

Labu, 26 Jun Kelab Remaja ISMA (KRIM) Negeri Sembilan buat julung-julung kalinya melakar sejarah apabila telah berjaya melaksanakan Program Seminar Kerjaya 2010. Program ini dianjurkan oleh KRIM NS dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seremban, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan.

Program ini telah diadakan di Dewan Sri Bestari, SMAP Labu yang merupakan antara sekolah terbaik di negara ini. Kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bagi oleh pihak SMAP Labu terutama oleh Puan Pengetua, GPK HEM dan guru-guru kaunseling serta barisan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari kalangan pelajar adalah antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pengendalian program ini. Dengan objektif untuk memberi pendedahan mengenai pentingnya kesedaran memilih kursus pengajian dan kerjaya yang betul, Seminar Kerjaya ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 500 orang  pelajar tingkatan 4 dan 5 daripada sekolah-sekolah di seluruh Negeri Sembilan.

Barisan tetamu kehormat yang hadir

Sebaik tiba, para pelajar dari pelbagai sekolah yang hadir diminta menjawab soalan Ujian Personaliti Kerjaya, dibantu oleh barisan kaunselor dari SMAP Labu. Program ini dimulakan seawal jam 9.30 pagi dengan majlis perasmian yang dihadiri oleh Tuan Hj Muhammad Bin Mohd Nor, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Seremban dan Puan Hajah Radziah Abdul Samad, Pengetua SMAP Labu. Dalam ucapan alu-aluannya, Saudara Omar Bin Kassim selaku Setiausaha ISMA Seremban mengucapkan tahniah kepada peserta yang hadir dan menegaskan peri pentingnya mendapat pendedahan tentang pilihan kerjaya yang menentukan halatuju remaja pada masa akan datang.

Program Seminar Kerjaya 2010  ini kemudian dirasmikan oleh Tuan Hj Muhammad. Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan ucapan tahniah atas usaha KRIM dalam menyumbang ke arah kecemerlangan para pelajar menerusi program seumpama ini. Beliau turut mengingatkan para pelajar agar mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin informasi yang berguna demi membantu memilih kerjaya yang betul di masa akan datang. Majlis diserikan lagi dengan tayangan video Promo KRIM buat tatapan tetamu jemputan dan para pelajar yang hadir.

Setelah selesai majlis perasmian, wakil pihak kaunselor SMAP Labu, Cikgu Alias Abu Bakar meneruskan program ini dengan memberi penjelasan berkenaan keputusan Ujian Personaliti Kerjaya yang telah diduduki oleh para peserta. Para pelajar yang hadir ke program ini sedikit sebanyak mengetahui kecenderungan diri masing-masing sebelum mereka mendapat maklumat-maklumat yang lebih berguna dalam slot-slot berikutnya. Kemudian para pelajar dan guru-guru pengiring dijemput untuk minum pagi sambil berkunjung ke pameran kerjaya.

Perkongsian oleh Prof. Dr. Badhrulhisham Bin Abdul Aziz

Tepat jam 11.00 pagi program ini  diteruskan dengan slot pertama seminar ini yang bertajuk ”Halatuju Selepas SPM: Apa Pilihan Saya?’’ yang telah disampaikan dengan berkesan oleh Yang Berbahagia, Prof. Dr. Badhrulhisham Bin Abdul Aziz, Pengarah Pusat Pembangunan Kualiti dan Korporat, Universiti Malaysia Pahang, juga merupakan AJK ISMA Pahang.

Slot kedua Seminar Kerjaya 2010 diisi dengan sesi Forum Perkongsian Kerjaya. Slot ini dikendalikan oleh Saudara Mohd Zul Alwi Mat Adam yang merupakan seorang jurutera Petronas. Dua orang ahli panel dari dua bidang yang berbeza iaitu Prof. Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin, Timbalan Dekan International Medical University, Seremban dan Saudara Zuraidi Zakaria dari AKPK Bank Negara telah dijemput khas bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bidang masing-masing.

Bagi memulakan slot petang, para pelajar sekali lagi berkumpul dalam Dewan Sri Bestari untuk slot 3, iaitu Penerangan Bersama Badan-badan Penajaan. KRIM NS cukup bertuah petang itu kerana wakil dari tiga badan penajaan utama iaitu Petronas, MARA dan JPA sudi berkongsi maklumat bersama para pelajar. Para pelajar didedahkan dengan pelbagai informasi termasuklah persaingan  untuk merebut peluang penajaan pendidikan yang ditawarkan sangat sengit di mana faktor akademik semata-mata tidak lagi relevan dan kemahiran bukan akademik turut menjadi pra-syarat untuk melayakkan pelajar ditaja, maklumat tentang syarat-syarat penajaan dan tips-tips menghadiri sesi temuduga.

Ahli-ahli panel Forum Perkongsian Kerjaya

Seminar Kerjaya ini diakhiri dengan Slot Bengkel, di mana para peserta dibahagikan kepada empat bidang kerjaya iaitu Kejuruteraan, Perubatan, Perakaunan dan Perguruan. Melalui slot ini, para pelajar mendapat pelbagai maklumat tentang bidang yang dipilih, laluan untuk mengambil jurusan tersebut serta perkongsian pengalaman kerjaya yang membakar semangat mereka untuk terus berusaha menggapai cita-cita yang diimpikan. Slot bengkel ini membuka ruang soal jawab dan ternyata para peserta memberi komitmen yang cukup positif dalam slot bengkel ini dari setiap bidang.

Pihak KRIM NS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada JPNS dan PPD Seremban di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Seminar Kerjaya 2010 ini. Terima kasih juga kepada pihak tuan rumah, SMAP Labu  yang telah menyediakan fasiliti terbaik dan tenaga sokongan yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Tidak lupa kepada wakil-wakil JPA, MARA, PETRONAS dan PEMBINA serta sekolah-sekolah yang mengambil bahagian. Semoga program ini diberkati oleh Allah SWT dan mendatangkan kebaikan buat semua yang terlibat.

Sumber: Laman Web KRIM Negeri Sembilan