Sambutan Israk Mikraj membongkar sirah mencari ibrah
Mansurah, 9 Julai – Sempena Israk Mikraj pada tahun ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-Mesir) Cawangan Mansurah telah menganjurkan program sambutan di Villa Kita, Tir’ah, Mansurah. Majlis ini telah dihadiri oleh mahasiswa yang menuntut di Mansurah dan Tanta, serta tetamu dari ISMA-Eropah yang kebetulannya datang melawat sempena musim cuti.
Majlis ini bermula sekitar jam 8.30 malam selepas solat Maghrib berjemaah di Villa Kita dan dipengerusikan oleh saudara Nik Mohd Rafei bin Nik Zainal Alam. Majlis bermula dengan persembahan nasyid yang diketuai oleh saudara Mohd Fuad bin Jamil dan kemudian diteruskan dengan pengisian yang disampaikan oleh saudara Mohd Fuad Zaki Bin Hisyam, pelajar tahun akhir, Fakulti Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Tanta.
Bertemakan “Membongkar Sirah Mencari Ibrah”, penceramah membawakan tajuk perbincangan yang cukup menarik dan menekankan aspek solat dalam pengisian beliau. Menurutnya, kisah Israk Mikraj sepatutnya menjadi pendorong yang baik untuk kita semua meningkatkan kualiti solat dalam kehidupan seharian.
Israk Mikraj juga menyedarkan kita bahawa betapa tingginya martabat solat berbanding ibadah-ibadah yang lain seperti membaca quran atau berpuasa. Solat merupakan satu-satunya syariat yang disampaikan kepada Rasulullah secara terus tanpa apa-apa perantaraan seperti malaikat atau seumpamanya. Hal ini sekaligus membuktikan peri pentingnya ibadah solat berbanding ibadah lain.
Selain itu, penceramah juga turut mengulas mengenai kepentingan masjid Al-Aqsa di sisi umat Islam. Sabda Nabi S.A.W, “Barangsiapa yang tidak menghiraukan mengenai urusan umat Islam yang lain, maka dia bukanlah dari kalangan kami“.


