Mahasiswa Korea & Jepun hayati peranan sebagai agen perubahan bangsa
Gapyeong – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah memberikan kerjasama bagi menjayakan Program Jalinan Ukhuwwah Musim Panas (JUMP) Korea Selatan anjuran Korea Islamic Malaysian Student Association dan Kelab UMNO Korea (KUK).
Perkhemahan musim panas ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di Greencamp, Gapyeong lebih kurang 50km dari Seoul. Seramai 51 orang peserta terdiri daripada pelajar pusat bahasa, undergraduate dan juga pelajar Master telah memeriahkan acara tahunan ini. Tahun ini juga pihak penganjur berbesar hati menerima kedatangan beberapa orang sahabat yang datang jauh dari Jepun.
JUMP kali ini menerima kehadiran penceramah jemputan khas dari Sekretariat Luar Negara ISMA iaitu En Mohd Khousaini b Mohd Naim. Penceramah merupakan seorang jurutera bertugas di Petronas Penapisan Melaka dan juga terlibat aktif dalam ISMA selaku Setiausaha Sekretariat Luar Negara. Beliau membentangkan slot pengenalan “Jendela Dunia” yang memberi fokus kepada realiti global ketika ini. Beliau juga menyentuh peri pentingnya kesedaran para pelajar dalam mencorak masyarakat dan bagaimana harus kita memainkan peranan menggerakkan masyarakat.
Dalam slot pembentangan kertas kerja Konvensyen Pemikiran al-Banna (KOBANNA), para peserta diberi pendedahan berkaitan kepentingan menjadikan bangsa Melayu sebagai tonggak dalam memegang panji Islam di Malaysia berdasarkan kepada analisa generasi sebelum kita. Pembentangan kertas kerja kedua pula menyentuh tentang hedonisme yang menyerang umat Islam kini dan para pelajar diajak untuk sama-sama menyedari hakikat ini dan memainkan peranan sebagai agen perubahan apabila pulang ke tanah air kelak. Aktiviti pembangunan insan seperti halaqah dan usrah merupakan satu contoh cara memantapkan jatidiri pelajar sebagai seorang Muslim yang sebenar.
Pada malam terakhir JUMP, satu slot khas bersama En Syukri, penasihat KUK pula telah dihidangkan kepada para peserta bertajuk “Kisah Aku dan Kamu”. En Syukri menceritakan sedikit sebanyak berkaitan isu semasa di tanah air, Malaysia. Slot menjadi rancak dan menarik apabila para peserta banyak bertanyakan soalan dan aksi santai En Syukri diselangi dengan perkongsian pendapat dari para peserta sendiri.
Dalam ucapan penutup Pengarah Program, Saudara Ammar menekankan peranan utama kita sebagai pelajar Muslim yang mesti menjadi tauladan dan pemimpin Muslim yang akan membentuk negara ke arah yang lebih cemerlang.
Diharapkan siri Jalinan Ukhuwwah kali ini dapat memberi nafas baru kepada para pelajar Malaysia di Korea kerana satu kekuatan utuh bermula dari sebuah ikatan ukhuwwah. Semoga berjumpa lagi di JUMS’11!




