Lebih 1000 wanita hadiri KONWANIS 2010
Para peserta konvensyen memenuhi Dewan Wawasan
Port Dickson, 24 Julai – Lebih 1000 orang wanita hadir sebagai peserta Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS) 2010 anjuran Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang diadakan di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson di sini hari ini.
Mereka yang hadir terdiri daripada ahli-ahli ISMA, golongan professional, penuntut institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam.
KONWANIS 2010 ini telah dirasmikan oleh Dato’ Hajah Zainab bt Haji Nasir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri Sembilan.
KONWANIS pada kali ini yang bertemakan ‘Wanita Mendepani Cabaran Sosial Pasca Moden’ merupakan konvensyen yang keempat dianjurkan oleh Biro Wanita ISMA setelah pertama kali diadakan pada tahun 2005.
Dato’ Hajah Zainab menyempurnakan upacara perasmian KONWANIS
Tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu Kertas Kerja 1: ‘Identiti dan Jati Diri Wanita Menurut Perspektif Islam’ oleh Ustazah Norakhilah Bt. Baharin, Ketua Wanita ISMA Cawangan Perak, Kertas Kerja 2: ‘Wanita Mendepani Cabaran Sosial Pasca Moden’, oleh Ustazah Norsaleha Bt. Mohd Saleh, Ketua Wanita ISMA, dan Kertas Kerja 3: ‘Sumber Pengambilan Sebagai Asas Jati Diri Pasca Moden: Kajian Ilmiah Buku Teks Sirah Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA/KAP) di Negeri Sembilan’ oleh Ustaz Ahmad Sanusi bin Azmi, Timbalan Dekan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pada sesi petang telah diadakan satu forum yang membincangkan tajuk ‘Realiti Wanita Pasca Moden’ dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Ustazah Nik Norsaha dan Puan Hajah Rohani Dato’ Shahir serta Ustazah Razidah Adam sebagai moderator.




[...] blog Biro Wanita Isma klik sini klik sini juga [...]