|

Karya: al-Fatih

“Hasan, dah siap? Kejap lagi, inshaAllah dalam 10 minit kita gerak ke rumah Mak Usu ye.”

“Ok,” suara keanak-anakan Hasan tenang menjawab pertanyaan umi sambil tangannya menyisir rambut di hadapan cermin. Gembira sekali Hasan pagi itu. Manakan tidak, sudah lama dia tidak berkunjung ke rumah Mak Usu. Kebelakangan ini, umi dan ayah agak sibuk. Tambahan pula, ayah sedang melanjutkan pengajian dan pada yang sama, turut bekerja.

Pagi itu, 29 Mei 2010, Ana mahu membawa Hasan ke rumah adik iparnya, Fatimah. Dua hari yang lepas, Fatimah menjemput mereka ke sambutan hari lahir ke-7 anak sulungnya, Muhammad Fatih. Kebiasaannya, Fatimah akan mengadakan sambutan hari lahir untuk anak-anaknya sebagai satu cara untuk mengumpulkan ahli keluarga dan teman-teman rapat.

“Umi, Hasan nak hadiahkan lukisan ni untuk Abang Fatih. Cantik tak ?”

Ana menoleh pada Hasan. Sejak akhir-akhir ni, Hasan memang suka melukis. Apa yang dia lihat menarik atau apa sahaja yang dia bayangkan sebagai sesuatu yang menarik, pasti diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan. Setiap kali Ana masuk ke bilik Hasan, pasti ada lukisan baru yang ditampal pada dinding biliknya. Dan untuk kanak-kanak berusia 5 tahun seperti Hasan, bakat melukis sedemikian cukup menarik perhatian. Cikgu Asiah, guru tadika Hasan juga pernah menyatakan hal yang sama pada Ana kali terakhir mereka bertemu di Tadika Mawaddah.

“Wah, lawanya lukisan Hasan! Tapi kenapa ada kapal-kapal dan bukit je? Laut kat mana?” Ana mengusik Hasan, walaupun Ana sudah dapat mengagak jawapannya.

“Oh, tak. Kapal-kapal ni unik, tak sama macam kapal-kapal lain. Kapal-kapal lain tak boleh ‘belayar’ kat atas bukit macam kapal-kapal ni. Inikan kapal-kapal Sultan Muhammad al-Fatih,” petah Hasan menjawab soalan Uminya.

Ana tersenyum memandang kesungguhan dan minat yang Hasan tunjukkan. Masih segar lagi dalam ingatan Ana, kisah sambutan hari lahir Fatih tahun lepas yang amat memberi kesan pada Hasan.

29 MEI 2009

“Jom anak-anak buat bulatan. Mak Usu ada cerita best nak bagi tau,” ceria Fatimah memanggil kanak-kanak yang hadir hari itu.

“Yea!!” serentak mereka menjawab lantas duduk bersila membentuk bulatan di samping Fatimah. “Satu, dua, tiga, empat…..15 orang, alhamdulillah,”monolog Fatimah di dalam hati. Girang rasa hatinya melihat hampir semua anak-anak saudaranya ditambah dengan kawan-kawan Fatih hadir meraikan hari lahir Fatih dan teruja untuk mendengar ceritanya.

“Mak Usu, apa cerita best tu?”

“Ok, sebelum tu, kita buka dulu sesi cerita kita dengan surah al-Fatihah. Semua dah pandai baca al-Fatihah kan?”

Semua mengangguk-angguk sambil membaca surah al-Fatihah.

“Alhamdulillah, pertama sekali Mak Usu nak ucapkan terima kasih sangat kat semua yang datang. Mak Usu rasa gembira sangat. Jadi, inshaAllah Mak Usu nak hadiahkan cerita pula untuk anak-anak tersayang.”

“Tau tak apa yang istimewa tentang hari ni?”

Birthday Fatih!” Hasan bersuara girang.

“Betul-betul. Lagi?”

Kanak-kanak itu berbisik antara mereka. Mencari-cari jawapan. Apa ya?

“Apa ya?” fikir Hasan dalam diam.

Hampir seminit kemudian, tiada yang bersuara. Mengalah. Dan menunggu Mak Usu memberikan jawapan.

“Ok, siapa tahu Istanbul kat mana?”

“Turki,” Adam menjawab. Adam memang minat meneliti peta, dan baru semalam dia menjumpai Istanbul pada peta dunia.

“Alhamdulillah. Yang Mak Usu maksudkan adalah, istimewanya hari ini sebab hari inilah ulang tahun pembukaan Istanbul di Turki. Kat tepi Mak Usu sekarang ada peta yang menunjukkan kedudukan Istanbul. Yang kat bawah tu tempat kita sekarang, Malaysia,” ulas Fatimah sambil menunjuk pada peta yang ditampal pada dinding rumahnya.

“ Dalam masa 800 tahun sebelum pembukaan Istanbul, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya Konstantinople, iaitu nama lama bagi Istanbul sebelum pembukaanya, akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

Hasan rasa kagum. Butir bicara Mak Usu melekat satu-satu di telinganya. Siapa mereka itu? Hasan rasa tidak sabar mahu tahu jawapannya.

“Banyak percubaan dibuat dalam masa 800 tahun untuk membuka tempat tu. Tapi, semuanya tak berjaya. Seorang sahabat Rasulullah s.a.w, iaitu Abu Ayyub al-Ansari r.a, adalah antara mereka yang turut berusaha ke arah itu, tetapi ditakdirkan Allah, beliau meninggal dunia. Dan sebelum meninggal dunia, dia sudah mewasiatkan supaya dikuburkan dekat dengan Konstantinople (Istanbul). Lepas ni, boleh minta parents masing-masing ceritakan siapa Abu Ayyub r.a. pula.

Ok, selepas lebih kurang 800 tahun, pada zaman pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah, usaha ini diteruskan pula oleh sultan muda ini. Usia dia sangat muda semasa dilantik untuk memerintah. Siapa nak teka?”

“25 tahun,”

“20 tahun,”

Fatimah tersenyum sahaja. Walaupun tidak ada jawapan yang tepat, suara-suara tetap menjadikan suasana agak interaktif.

“Baiklah, 19 tahun. Pada tahun 1451” ujar Fatimah.

“Wah, mudanya!!” anak-anak sangat terkejut.

“A’ah, sangat muda. Tandanya, usia muda sangat berharga. Anak-anak semua pun ada potensi nak jadi macam dia. Baik, Mak Usu sambung cerita ye. Sultan ni sangat bekerja keras untuk tujuan ni. Selama 2 tahun dilantik menjadi sultan, dia sangat tekun meneliti peta Konstantinople (Istanbul) untuk mencari kelemahan-kelemahan yang ada pada tempat tu. Kegagalan-kegagalan daripada usaha mereka terdahulu pun turut dia kaji.

Akhirnya, pada 19 April 1453, sultan tu pula melancarkan serangan. Macam-macam dilakukan dan antara yang paling luar biasa adalah mengangkut kapal-kapal perang merentas bukit-bukit.”

“Kenapa macam tu? Kapal kan belayar kat laut je?” Hasan melontarkan persoalan.

“Susah juga untuk Mak Usu terangkan. Tapi, takpe. Cuba tengok peta ni, inilah kedudukan Konstantinople (Istanbul). Pihak musuh dah halang laluan laut ni dengan rantai besi supaya kapal-kapal tak dapat masuk. Jadi, sultan ni perlu guna cara lain untuk pastikan kapal dapat masuk dan strategi yang diorang gunakan adalah dengan mengangkut kapal-kapal tadi melalui bukit. Memang susah, dan kelihatannya macam mustahil, tapi dengan kehendak Allah, apa sahaja boleh berlaku.

Anak-anak ada bawa al-Quran beserta terjemahan? Kalau tak, boleh amik dekat rak buku kat tepi sana. Ok, sekarang cuba buka dekat surah ke-13, ayat 11. Zaid nak bacakan?”

Zaid mengangguk. Zaid membacanya dalam bahasa Arab terlebih dahulu dan barulah membaca terjemahannya, seperti berikut:

“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain DIA.”

“Jazakallahu khairan kathiraa Zaid. Sebelum Mak Usu lupa, maksud ‘jazakallahu khairan kathiraa’ adalah ‘moga Allah membalasmu dengan kebaikan yang banyak’. Sebab Zaid lelaki, Mak Usu gunakan jazakallahu khairan kathiraa. Tapi, kalau untuk Adik Munirah katakan, Mak Usu akan cakap ‘jazakillahu khairan kathiraa’. Sekarang kita sambung balik pada ayat tadi. Apa yang Mak Usu nak fokuskan adalah pada ayat yang Allah cakap, ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri’. Kat situ, kita nampak keperluan untuk berusaha. Macam sultan tadi dan tenteranya, mereka berusaha untuk mengangkut kapal-kapal tadi, dan dengan izin Allah mereka berjaya juga akhirnya. Lepas ni, anak-anak yang Mak Usu sayang ni kena rajin-rajin berusaha dan berdoa serta bertawakkal pada Allah ye.

Mak Usu sambung lagi ye. Ok, selepas beberapa lama mengepung Konstantinople lebih kurang dalam masa sebulan lebih, tentera Islam akhirnya berjaya masuk ke dalam Konstantinople dan akhirnya sultan itu menukar namanya menjadi Islambol yang bermaksud Islam secara keseluruhan, ataupun kita kenalinya sebagai Istanbul pada hari ni.”

“Yea!!” anak-anak menjerit kegembiraan.

Walaupun kisah itu berlaku beberapa abad yang lalu, roh sejarahnya masih hidup hingga ke saat ini. Saat di mana umat Islam Palestin, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Chechnya, Uyghur dan ramai lagi ditindas. Saat di mana umat Islam telah dibutakan daripada mengenali sejarah cemerlang yang pernah dikecapinya. Saat di mana umat ini terperangkap antara pelbagai ideologi yang meracun pemikirannya.

Tapi inilah juga saat di mana ada usaha untuk mengutip kembali sisa-sisa kekuatan yang ada, kerana tidak putus harapan pada janji Allah yang Islam akhirnya akan menang. Maka Fatimah amat-amat berharap, anak-anak di hadapannya ini akan kembali menjadi generasi harapan.

“Kemudian, saat sultan dan tenteranya mahu mengerjakan solat Jumaat. Untuk itu, timbul tanda tanya siapa yang layak untuk menjadi imam. Maka sultan muda itupun terus bertanya,

“Siapa antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu sejak baligh, sila duduk!”

Tiada yang duduk.

“Siapa antara kamu yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib sejak baligh, sila duduk!”

Mula ada yang duduk.

“Siapa antara kamu yang pernah meninggalkan solat sunat tahajjud sejak baligh, sila duduk!”

Semua duduk, kecuali sultan tadi. Dan itulah ciri-ciri sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Dan itulah dia Sultan Muhammad al-Fatih.”

29 MEI 2010

Setibanya di rumah Fatimah, Hasan terus mencari Fatih. Semangatnya sungguh berkobar-kobar ibarat semangat mereka yang menawan Konstantinople berabad lalu.

“Abang Fatih, ini untuk Abang. Kalau Abang jadi sultan, saya nak jadi seperti tentera yang syahid tu. Namanya pun Hasan, “

Dan Hasan memang memaksudkannya. Allahu akbar!

Sumber: Laman Web ISMA Australia