“Friendly game” antara ISMA-Mesir dan MedicMesir erat ukhuwwah
Tanta, 2 Julai – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-Mesir) Cawangan Tanta telah menganjurkan perlawanan persahabatan antara ISMA-Mesir (Tanta) dan MedicMesir (Tanta), bertempat di Istad, muhafazah Tanta.
Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk menjalinkan ikatan ukhuwwah di antara organisasi pelajar di Tanta di samping memberikan hak badan dalam menjalani riadhah mingguan.
Program ini telah dihadiri oleh seramai kira-kira 27 orang pelajar (dari jurusan Pengajian Islam dan Perubatan). Perlawanan bermula pada pukul 6.15 pagi dengan membahagi kumpulan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 9 orang pemain dan perlawanan menggunakan sistem liga. Perlawanan berakhir pada jam 8.15 pagi.
Tidak cukup sekadar pengisian jasmani, seterusnya pihak ISMA-Mesir (Tanta) menjemput saudara Muhammad Firdaus bin Zalani untuk memberi sedikit tazkirah untuk mengisi slot rohani. Saudara Firdaus menyentuh tentang kepentingan kita sebagai seorang muslim untuk memahami islam dengan kefahaman yang jelas.
Ulasnya, seseorang pelajar Pengajian Islam tidak semestinya secara pasti akan mendapat kefahaman Islam yang hakiki, tetapi kefahaman Islam yang sejati akan diberi kepada hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa, tidak kira apa bidang yang diceburi.
Seterusnya sesi taaruf ringkas diadakan di antara para pemain, yang berasal dari berbagai daerah dan negeri di Malaysia. Pada kesempatan ini, saudara Muawwidz Al-Ansori bin Dzulkefly telah mempromosikan Jaulah “Jalan-jalan Fayyoum” kepada semua pemain yang akan diadakan pada 8 Julai 2010, di bawah Unit Sukan dan Aktiviti Luar bergabung dengan Unit Dakwah dan Kebajikan, ISMA-Mesir (Tanta).
Program diakhiri dengan bacaan doa dan kaffaratul majlis. Para hadirin bersurai kira-kira pukul 9.00 pagi selepas sesi bergambar dan bersalaman.


