|

Wanita ISMA Seremban ajak masyarakat hayati jasa ibu

Peserta-peserta pertandingan mewarna Sambutan Hari Ibu

Seremban, 30 Mei – Pengorbanan, kepayahan dan kesusahan seorang ibu yang mengandung, membesar, memelihara dan mendidik kita sewajarnya dihargai oleh setiap insan. Bagi menyedarkan masyarakat tentang kewajipan menghormati ibu bapa khususnya ibu, Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban melakar sejarah apabila buat pertama kalinya mengadakan Program Sambutan Hari Ibu 2010. Majlis kemuncak program ini telah diadakan di Seremban Centre Point, salah sebuah kompleks membeli belah terkemuka di Seremban.

Sepanjang bulan Mei yang lalu, pihak Biro Wanita ISMA Seremban telah menganjurkan pertandingan menulis sajak dan mengarang esei sempena Sambutan Hari Ibu ini bagi mencungkil bakat-bakat seni di kalangan remaja dan belia muslim. Penyertaan daripada masyarakat setempat khususnya golongan remaja amat menggalakkan dan hasilnya menyerlahkan bakat yang terpendam dalam diri remaja muslim menerusi karya-karya kreatif yang dihasilkan.

Pelbagai aktiviti menarik berlangsung pada majlis kemuncak Program Sambutan Hari Ibu ini. Antara acara pentas yang telah diadakan adalah Celoteh Si Kecil oleh ahli-ahli Kelab Nadi Asybal wa Zakhrawat ISMA (NAZIM) Seremban, tayangan multimedia, Bicara Ibu oleh Ustazah Nik Norsaha, deklamasi sajak anak kepada ibu oleh pemenang  pertandingan menulis sajak Hari Ibu dan persembahan nasyid bertemakan ibu dari sekolah jemputan iaitu Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, kuiz keluarga “Look Alike” dan kuiz keluarga “Ku Kenal Maka Ku Cinta”.

Penyampaian pidato oleh adik Wajih

Bagi memeriahkan lagi program ini, adik Wajih Zakwan Hanif iaitu pemenang rancangan realiti TV “Adik-adikku” telah diundang untuk menyampaikan slot pidato. Puan Nisah Harun dari Persatuan Penulis Negeri Sembilan yang juga hakim pertandingan sajak dan esei turut dijemput untuk mendeklamasikan sajak.  Serentak dengan acara pentas, turut berlangsung pertandingan memasak kuih berasaskan labu buat para ibu, pertandingan mereka kad Hari Ibu dan pertandingan mewarna  yang berjaya mengumpulkan lebih 80 orang kanak-kanak berumur 5-12 tahun.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Azizee Hasan, YDP ISMA Seremban.  Program diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati dan hadiah kepada para jemputan dan pemenang-pemenang pertandingan.  Akhir kalam, pihak Biro Wanita  ISMA Seremban merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan ‘Program Sambutan Hari Ibu’ ini dan masyarakat setempat yang hadir serta memberikan sumbangan. Semoga program ini diberkati oleh Allah S.W.T serta dapat menyedarkan kita semua betapa besarnya jasa dan pengorbanan seorang ibu.

Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan