Seminar Anak Soleh dedah potensi juara anak-anak
Jitra, 29 Mei – “Tidak ada manusia yang dilahirkan untuk gagal, kerana kita dilahirkan dengan semua potensi untuk menjadi juara.”
Itu konklusi dan isi utama dalam Seminar Anakku Soleh Anakku Cemerlang yang telah berlangsung di Dewan Mahsuri, Taman Siswa, Jitra, Sabtu lepas. Seminar yang dianjurkan oleh Biro Wanita dan Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia Kedah (ISMA Kedah) ini telah diisi oleh tokoh-tokoh ilmuan dalam bidang perubatan dan kaunseling serta bidang agama dan motivasi dan telah dihadiri oleh hampir 160 peserta yang rata-rata dari sekitar Daerah Kubang Pasu.
Dr. Murizah Mohd Zain, konsultan dan felo bagi perubatan reproduktif di Hospital Sultanah Bahiyah yang juga merupakan aktivis wanita ISMA Kedah telah mengisi slot pertama dengan input-input berkaitan pendidikan anak-anak sejak sebelum kelahiran. Sementara slot kedua berkenaan psikologi kanak-kanak telah disampaikan oleh Dr. Yusni Yusof yang merupakan pakar psikiatri kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang.
Ustaz Abd Fisol Md Isa pula telah menyampaikan berkenaan pendidikan anak-anak menurut perspektif Islam manakala Dr. Haji Mohd Arif Mohd Noor, telah membuat kupasan menarik berkenaan mengenali potensi anak-anak.
Seminar ini juga telah diserikan oleh persembahan nasyid anak-anak dari kumpulan Tadika Nursyifa yang telah menyampaikan dua buah lagu.
Rata-rata peserta yang ditemui selepas seminar menyatakan rasa puas hati dengan input yang diberikan oleh barisan penceramah dan menyambut baik penganjuran program seumpama ini dimasa-masa akan datang.
Sumber: Blog ISMA Kedah




