|

Penjawat awam dan gejala rasuah

Membaca Berita Harian bertarikh 3hb Jun 2010 tidak langsung memeranjatkan saya di mana tajuknya terpampang begini  “418,200 penjawat awam babit rasuah. CEUPACS dengan kerjasama SPRM pastikan kakitangan kena tindakan.” Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam berurusan dengan tender dan kontrak kerajaan, saya memang tak terperanjat. Masa mula 18 tahun dulu tak lah seteruk ini. Kalau di universiti tak ketara sangat tapi sekarang ada professor yang kena tangkap. Kalau di kementerian-kementerian lagi besar kontrak lagi besar masalahnya.

Sudah tentu mereka yang terlibat adalah orang yang bermasalah.  Kalau diambil secara kasar maknanya yang bermasalah dalam penjawat awam ialah sebanyak 41%, ini yang berpenyakit rasuah macam mana  yang berpenyakit lain. Boleh bayangkan berapa banyak mereka yang bermasalah dalam penjawat awam. Yang akan menyelesaikan masalah ini pun nanti penjawat awam juga. Oleh kerana peratusan besar yang bermasalah, besar kemungkinan mereka yang akan ditugaskan untuk selesaikan masalah ini pun bermasalah juga. Pusing sana pusing sini masalah takkan selesai juga.

Cerita sampingan:-

Setelah sekian lama berniaga kini kami jadi sub-kontraktor ajelah. Kalau dapat direct pun yang kecil-kecil sahaja, tak melibatkan rasuah.  Apapun alhamdulillah… rezeki yang baik adalah yang bersih. Pernah jadi sub-supplier kepada main supplier, Melayu muka depan saja belakang ca-ya-nun-alif. ‘Network’nya menteri sekali sauk RM170 juta punya projek. Habis projek gaduh sama sendiri. Tak puas hati punya pasal bocor rahsia.

Nak tahu berapa sekali buat untung? RM100 juta. Nak untung banyak tu, macam-macam lah taukey ni buat, hantar barang second hand kata baru dan sebagainya, sampai kawan saya papa-kedana tak dibayar, saman pun tak lut. Satu hari pernah terserempak kawan saya ini, naik basikal, katanya apa kenderaan pun dah tak ada, minta duit makan RM10 saya pun beri, kesian,  rokok pun pungut tepi jalan. Kami alhamdullillah dibayar sebab kami paksa dia buat LC (Letter of Credit). Pakej lain yang kecil patut bayar tunai akhirnya hangus juga.

Penjawat awam ni majikannya kerajaanlah. Penjawat awam ni pekerjanyalah. Kerajaan pula ialah satu pasukan manusia yang dilantik oleh rakyat untuk mentadbir negara. Sedikit pengalaman saya semasa bekerja dengan swasta. Saya pekerja, ada majikan. Kita sesama kakitangan lain biasalah kalau duduk sesama minum petang atau sarapan pagi kalau tak mengata majikan sampai tak ada bahasa yang berbaki tu kira tak sah, tapi saya tak biasa join perbahasan. Sebabnya, jauh di sudut hati, satu hari saya pun nak jadi majikan juga. Lagi pun bukan kebiasaan kita sebab dah ikut jamaah.

Perkara mengata majikan ni timbul mungkin kerana curiga, tak mempercayai, sakit hati nanti dia saja kaya, tak redha dengan majikan dan mungkin dengan keadaan hidup sendiri. Seperti ketidakcukupan dan lain-lain. Lalu kena cari kambing hitamnya. Sapa lagi majikanlah. Ataupun… memang betul majikan bermasalah? Perkara tu sosial saintis bolehlah buat kajian. Siapa betul siapa salah. Ringkasnya kerana sebab-sebab itu jiwanya bermasalah sehingga boleh bertindak buat perkara salah sebab akal tak dapat membendung baik buruk tindakannya. Lagi pun majikan pun sama, teruk lagi ada. Berbagai alasan boleh fikir untuk setuju dengan perasaannya (jiwanya).

Dr Yusuf Qardawi menulis dalam buku “Akhlak Dalam Ekonomi Islam” di dalam tajuk kecil “Pengaruh Ketenteraman Jiwa Terhadap Pengeluaran (Poduktiviti)” seperti berikut:-

“Dengan bersandarkan keimanan seseorang mukmin dapat menikmati kehidupan dengan jiwa yang tenang, hati yang tenteram serta dada yang lapang. Kehidupannya dipenuhi oleh keredhaan, kedamaian dan semangat kecintaan yang murni. Tidak diragukan lagi keadaan jiwa seperti ini memberikan pengaruh positif terhadap pengeluaran.

Ini kerana orang yang jiwanya tidak stabil dan dipenuhi dengan perasaan kesal, dengki dan marah terhadap manusia dan kehidupan, jarang yang mampu melaksanakan pekerjaan yang diberikan kepadanya secara baik dan memuaskan. Perkara ini dapat difahami secara sederhana tanpa memerlukan penelitian pakar atau ulasan seorang ahli falsafah.”

Apa yang Dr Yusuf Qardawi sebut kalau dibandingkan dengan prestasi 41% penjawat awam yang terlibat dengan rasuah tu, agaknya apa perkataan yang sesuai untuk menggambarkan produktivitinya? Bayangkan sendiri.

“Inilah yang telah dan akan menyebabkan sektor pengeluaran awam jatuh serendah-rendahnya. Punca semua ini tidak lain ialah hilangnya amanah dan keikhlasan dari dalam jiwa manusia itu serta telah matinya nilai kebenaran dalam sanubari mereka. Mereka tidak pernah mengharapkan keredaan Allah dan tidak pernah memikirkan hari akhirat.” (diambil dari tulisan Dr Yusuf)

Betullah apa yang Yusuf Qardawi sebut di atas dan benarlah apa yang difirmankan oleh Allah SWT seperti berikut:-

Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. (Surah At-Taubah 9:105)

Cetusan hati:
Dollah Sani Suratman,
Ketua Biro Ekonomi & Kebajikan,
ISMA Shah Alam & Klang
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang