Meneliti jatuh bangun Islam di Malaysia
Pengenalan.
Malaysia dari segi taburan penduduknya merupakan sebuah negara yang majoritinya dihuni oleh 3 bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India. Sebuah negara yang dipandang unik oleh sesetengah pihak melihatkan kepada keharmonian dan juga suasana muhibbah sesama penduduknya walaupun secara dasarnya berbeza dari segi budaya, pegangan, cara hidup mahupun adat resam. Namun semua itu mampu diketepikan bagi sama-sama membina sebuah negara yang harmoni.
Namun keharmonian yang dikecapi Malaysia selama hampir 52 tahun lalu seakan-akan dilanda badai usai sahaja PRU ke-12 sedikit masa lalu yang disifatkan sebagai ‘tsunami politik’ oleh kebanyakan penganalisis dan juga pemerhati politik tanahair. Apa yang disifatkan sebagai Makkal Sakthi ataupun kuasa rakyat mula kedengaran di sana sini. Rakyat mula bereaksi setelah sekian lama berdiam diri mengikut arus yang dibawa oleh golongan pemerintah. Ini diterjemahkan melalui kegagalan barisan pemerintah dalam beberapa siri pilihan raya kecil peringkat negeri mahupun parlimen dengan yang terbaru, pilihan raya kecil Sibu. Jika atmosfera seperti ini terus menerus berpanjangan, maka tidak mustahil Malaysia buat pertama kalinya akan mengalami transformasi kepimpinan dalam era pasca merdeka.
Situasi unik Malaysia.
Walaupun sudah hampir 53 Malaysia mencapai kemerdekaan, namun politik Malaysia masih lagi dianggap belum lagi mencapai tahap kematangan sepenuhnya jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain. Namun begitu, tidak dapat dinafikan Malaysia kini sedang melalui satu proses kematangan demokrasi dengan wujudnya sisitem dwiparti (Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat). Berdasarkan penilaian dan juga pemerhatian penulis, Malaysia masih lagi mencari-cari hala tuju pada masa hadapan. Situasi unik di mana samada menjadi sebuah negara yang sekular, kerana kerangka asanya sudah tersedia, mahupun ke arah negara yang islamik berdasarkan kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh golongan refomis Islam di Malaysia baik yang bergelandangan di arena politik ataupun yang bergerak di tengah-tengah masyarakat. Semuanya bergantung kepada bagaimana Malaysia dipacu pada hari ini.
Dalam kita menilai kemelut yang melanda pada hari ini, kita seharusnya tidak lari daripada membincangkan isu utama bagi kita, umat Islam iaitulah bagaimana dan di manakah kedudukan agama rasmi persekutuan pada hari ini. Jika kita melihat kepada senario yang berlaku kini, kita tidak dapat mengelakkan daripada membicarakan kedudukan dan hak istimewa bumiputera dan yang paling utama, kedudukan agama Islam, agama yang menjadi pegangan kebanyakan penduduk negara ini.
Kes Lina Joy sedikit masa lalu sedikit sebanyak membuka mata umat Islam di negara ini betapa Islam kini seolah-olah hanya tinggal sebagai sesuatu yang digazetkan dalam perlembagaan semata-mata. Serangan dan usaha terus menerus pihak yang tidak sukakan Islam semakin menampakkan hasil dari hari ke hari. Ini belum diambil kira betapa umat Islam terutamanya di negara ini kian jauh dari mengamalkan Islam yang sebenar. Daripada masalah pergaulan bebas, kadar kelahiran anak luar nikah yang tinggi, rempit, dadah dan juga masalah sosial yang pelbagai, semuanya mencatatkan peratusan orang melayu Islam yang tinggi. siapakah yang gembira melihatkan kepada keadaan ini? Sudah tentunya kaum kuffar di luar sana yang bertepuk tangan melihat situasi kini.
Punca dan penyelesaian.
Puncanya tidak lain dan tidak bukan hanyalah jauhnya umat Islam pada hari ini daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka seolah-olah lupa bahawa nabi pernah berkata bahawa jika kita berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, maka kita tidak akan sesat selama-lamanya. Hampir tidak nampak ciri dan identti seorang muslim baik dalam tingkah laku mahupun percakapan mereka melainkan perkataan ISLAM yang tercatat di atas kad pengenalan mereka. Itupun ada usaha untuk membuangnya dari kad pengenalan atas alasan kebebasan beragama.
Jatidiri Melayu yang sudah sinonim dengan Islam juga sudah semakin hari semakin dilupakan sedangkan jika kita menelusuri sejarah Melayu, kita akan mendapati bahawa suatu masa dahulu, Melayu merupakan satu bangsa yang gah dengan nilai-nilai murni dan juga kaya dengan warisannya. Sejarah generasi silam seperti Tok Kenali, Tok Janggut, Abdullah Munsyi dan juga tokoh-tokoh yang lainnya dilupakan dan tidak diketahui oleh kebanyakan generasi muda kini. Hilang jati diri seorang yang berbangsa melayu yang dulunya kaya dengan sejarah hebat.
Budaya Hedonisme yang kini menjadi pegangan kebanyakan generasi muda remaja kini seakan-akan menjadi barah ummat yang akhirnya merebak untuk merosakkan seluruh tubuh dan juga juga anggota penting tubuh ummat ini. Ketaksuban kepada nilai-nilai barat akhirnya menjerumuskan masyarakat kita pada hari ini ke dalam suatu lembah yang di dalamnya terkandung penyakit ‘wahn’ iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Sedikit demi sedikit nilai dan jatidiri melayu Islam mula lupt dari diri generasi muda hari ini. Pepatah ada mengatakan bahawa, jika kita ingin melihat kepada bagaimana negara ini pada masa hadapan, lihatlah kepada generasi mudanya. Sama-sama kita melihat. Kerangka sekular yang disediakan oleh golongan penjajah seblum ini tampaknya akan terisi sedikit masa lagi sekiranya tiada usaha penambahbaikan dilakukan.
Perpecahan ummat Melayu Islam mengikut blok-blok kepartian disifatkan sebagai menyimbah minyak ke dalam api. Menambahkan lagi sebab mengapa Islam kian dipandang enteng oleh masyarakat bukan Islam. Maka segala usaha unutk mendaulatkan Islam di Malaysia tampak seperti tidak menemui titik mulanya. Sikap taksub kepada parti dan enggan menerima salah diri masing-masing menambahkan lagi masalah yang semakin parah.
Penyelesaian hanya satu iaitu kembali kepada ajaran Islam yang syumul kerana Islam menyediakan segala jawapan kepada persoalan dan juga penyelesaian kepada kepada permasalahan. Jika ummat Islam pada hari ini berpegang teguh kepada nilai ajaran Islam, maka kita berada di landasan yang tepat untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Judi tidak akan dihalalkan, hak keadilan penganut bukan Islam dijaga, malah keharmonian dan susana muhibbah dapat dikekalkan. Belajarlah dari sejarah silam kerana kita ini bangsa yang kaya dengan sejarah jika digali dan dikutip mutiaranya.
Bersatu atas dasar aqidah yang sama juga dilihat mampu membawa permasalahan ini menemui titik penyelesaiannya. Walaupun secara praktikalitinya diragukan terutamanya di Malaysia yang mana rakyat sudah lama didedahkan dengan sikap kepartian, namun siapa yang berani mengatakan bahawa ikatan atas dasar kepartian itu lebih kuat daripada ikatan atas dasar aqidah? Masalah dalaman umat Islam seharusnya diselesaikan secara dalaman membabitkan umat Islam sendiri kerana kita sesama muslim mempunyai suatu persamaan iaitu kerangka pemikiran kita masih lagi berada di dalam satu rangka yang sama iaitu ISLAM. Sikap mementingkan diri harus diketepikan dan seeloknya tenaga yang ramai itu disatukan untuk membawa Melayu Islam kembali menjadi bangsa yang dihormati.
Penutup.
Harapan itu masih ada. Setiap daripada kita mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Usahlah disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak disepakati, kita saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain. Jika bukan kepada umat Islam sendiri yang diharapkan untuk menaikkan Islam, kepada siapa lagi? Tidak mungkin kita meminta bantuan untuk menaikkan Islam daripada mereka yang rela mayatnya dilangkah sebelum mahu Islam ditegakkan. Hendak marah ahli politik Islam yang jahat biar berpada-pada, dan hendak sayang pada ahli politik bukan Islam yang nampak baik di mata pun biarlah pada kadarnya.
Wallahu ‘alam.
Mohd Zol Helmi Md Zuki
Sumber: Laman Web ISMA Eropah

