|

Mavi Marmara, Piala Dunia dan Melayu

Hampir sebulan telah berlalu sejak kapal Mavi Marmara diserang. Serangan yang menyaksikan umat Islam di Malaysia bahkan di seluruh dunia bangkit untuk menyatakan penentangan terhadap kekejaman rejim Zionis.

Namun kini tumpuan dunia beralih dari Gaza ke Afrika Selatan, tidak terkecuali sebahagian besar dari umat Islam. Dunia seluruhnya dari Amerika Selatan ke Korea Utara, seluruh dunia ibarat berpesta. Adalah diharapkan agar dalam keasyikan kita menonton Piala Dunia, kita tidak melupakan tragedi dan kepungan yang menimpa rakyat Gaza ketika ini.

Jika Piala Dunia dilihat mampu menyatukan banyak bangsa manusia dalam satu permainan atas nama semangat kesukanan, isu Palestin dilihat antara titik terbaik untuk menyatukan umat Islam seluruhnya atas nama persaudaraan Islam.

Ini kerana kita berhadapan dengan musuh yang sama iaitulah Zionis Israel dan konco-konconya yang tidak pernah berhenti rehat dalam menyerang umat Islam sama ada secara fizikal mahupun melalui serangan pemikiran.

Untuk menghadapi serangan ini dan bagi membantu saudara-saudara kita di sana, umat Islam di Malaysia harus menanggalkan seketika topi politik kepartian dan cuba mencari titik kesepakatan untuk bekerjasama bagi membantu Palestin dan bagi menghadapi serangan pemikiran yang ditaja oleh penyokong-penyokong rejim Zionis bagi melemahkan umat Islam.

Bukan sahaja dalam isu Palestin, tetapi umat Islam di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu harus berfikir di luar kotak politik bagi melihat kembali kedudukan umat Melayu Islam yang mutakhir ini kian lama kian terancam akibat terjerumus dalam permainan politik pihak-pihak tertentu.

Dikhuatiri, jika semakin lama umat Melayu terlibat dalam persengketaan politik yang tidak berkesudahan, maka tidak mustahil jika nasib yang menimpa umat Islam di Bosnia dan Palestin akhirnya akan menimpa umat Melayu di Malaysia ini.

Oleh: Mohd Hisham Mohd Sharif,
Unit Media ISMA Kedah
Sumber: Blog ISMA Kedah