Majlis Amal Soleh semarak semangat pelajar
Dunedin, 30 Mei – Bahang peperiksaan semakin terasa. Persiapan demi persiapan menghadapi peperiksaan kelihatan gigih berlangsung di kalangan para pelajar. Semuanya demi memburu cita-cita dan matlamat serta harapan diri, keluarga, seterusnya masyarakat dan negara. Merasa terpanggil untuk menyokong usaha-usaha gigih para pelajar ini, ISMA New Zealand (Dunedin) bersama-sama PERSADA (Persatuan Siswa-Siswi Dunedin), berpadu tenaga dalam menganjurkan Majlis Amal Soleh Bersempena Peperiksaan 2010. Majlis amal soleh ini telah diadakan di Dewan Bangunan Kelab dan Persatuan Otago Universiti dan berjaya menarik kehadiran seramai lebih 70 orang para pelajar daripada pelbagai jurusan dan tahun pengajian.
Majlis amal soleh bermula dengan solat Isyak berjemaah, diikuti dengan solat hajat bagi menyemarakkan perasaan kehambaan dan pergantungan kepada Allah S.W.T. Para pelajar digalakkan untuk memohon agar dipermudahkan urusan peperiksaan dan diberkati setiap usaha dalam meraih kecemerlangan akademik. Sejurus selepas solat hajat, para hadirin disajikan dengan sesi forum ringkas tetapi menarik dan bertenaga, dipengerusikan oleh Saudara Munir Muji, pelajar tahun akhir pergigian dan dibarisi oleh panelis daripada wakil ISMA NZ, Saudara Ahmad Sufian, pelajar tahun 4 perubatan dan Saudari Madihah Rushaidhi, pelajar tahun akhir ijazah kedoktoran, dan juga merupakan ketua wanita ISMA NZ.
Forum yang berkisar tentang persiapan menghadapi peperiksaan dari aspek fizikal dan spiritual ini telah berjaya menarik perhatian penuh para hadirin. Kupasan yang begitu baik, ditambah pula dengan pengalaman-pengalaman, nasihat serta perkongsian daripada para panelis menjadikan slot forum ini begitu bermanfaat. Melalui forum ini, semangat para hadirin untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam peperiksaan dikobarkan. Para hadirin turut diajak mengukuhkan diri dari aspek spiritual, agar sentiasa positif dan bermotivasi untuk belajar, bersedia awal serta bertawakkal kepada Allah S.W.T. Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra sambil menikmati makan malam.
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand



