|

KRIM Kedah suntik semangat pelajar SMSAH untuk berjaya

Jitra, 29 Mei – Alhamdullillah, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kedah terus mengorak langkah dalam usaha mengesani golongan remaja, kali ini dengan menjayakan slot program motivasi khas pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH).

Program yang  dijalankan ini adalah hasil kerjasama yang erat antara pihak sekolah dan KRIM Kedah yang mensasarkan semua pelajar putera dan puteri tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaaan SPM tidak lama lagi. Program dimulakan dengan slot ringkas pengenalan KRIM yang telah disampaikan sendiri oleh pengarah KRIM Kedah, Tuan Haji Mohd Khalil bin Hashim.

Ini disusuli slot utama program kali ini iaitu motivasi khas yang telah disampaikan dengan penuh semangat oleh Tuan Haji Rosidi Shahari selaku pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) negeri Perak yang juga motivator terkenal dari MAP Training & Colsultancy. Dalam slot motivasi beliau, beberapa aspek penting telah ditekankan dan dihuraikan dengan baik. Antaranya masalah-masalah dalam belajar, kepentingan  menjaga hubungan yang baik  dengan Allah dan sesama manusia serta beberapa strategi penting dan  petua-petua dalam mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Selain daripada itu, beliau juga turut menceritakan tentang resepi kejayaan yang dicapai oleh saudari Nik Nor Madihah sehingga menjadi pelajar terbaik SPM 2008 dan beliau juga menekankan perlunya pelajar-pelajar mengubah sikap  untuk mencapai kejayaan.

Semoga pengisian slot motivasi ini dapat menjadi pemangkin kepada pelajar-pelajar dalam membuat persediaan menghadapi SPM nanti. Jagalah hubungan dengan Allah dan sesama manusia serta berusaha dengan bersungguh-sungguh, insyaAllah kejayaan bakal diperoleh.

Sumber: Blog KRIM Kedah

Comments Closed

Komen ditutup