|

ISMA tekad bangunkan semula jatidiri dan keperibadian umat khususnya Melayu

Port Dickson, 11 Jun – “Intipati utama fikrah ISMA ialah membangunkan semula jatidiri dan keperibadian umat khususnya bangsa Melayu berasaskan Islam sehingga menjadi umat yang kuat, bersatu padu dan memiliki risalah,” tegas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

“Perkara ini menuntut kepada usaha berterusan bagi membangkitkan kesedaran siasi di kalangan orang Melayu supaya mereka merasai tanggungjawab menegakkan Islam di Malaysia dan memimpin dunia Islam serta membangunkan sikap mengutamakan kepentingan umum mengatasi kepentingan peribadi.”

Presiden ISMA itu juga menjelaskan bahawa fikrah ISMA yang dikemukakan memberi fokus kepada kedudukan strategik bangsa Melayu dalam konteks dakwah dan siasah di negara ini, sedangkan dari segi maudhuk dakwah tidak pernah berubah iaitu risalah Islam. Hal ini amat relevan dengan perkembangan kontemporari dan merupakan jawapan kepada persoalan semasa daripada perspektif manhaj taghyir.

Menurut beliau lagi, ISMA mengusulkan strategi angka dalam mengekalkan ‘kuasa wewenang’ agar sentiasa berada di tangan Melayu muslim, yang merupakan pra-syarat penting kepada penegakan Islam di negara dan rantau ini.

Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Fikrah ISMA’ di Perhimpunan Pimpinan ISMA Nasional (PIMPIN) 2010 yang berlangsung di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 10-13 Jun yang lepas.

Bertemakan ‘Agenda Digarap, Amanah Dipikul’, perhimpunan ini dihadiri oleh kira-kira 170 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pimpinan ISMA di peringkat pusat, negeri dan cawangan serta golongan pelapis pimpinan.

Bertitik tolak daripada fikrah tersebut, ISMA mengemukakan agenda perjuangannya iaitu untuk mengeluarkan umat Islam khususnya bangsa Melayu di negara ini daripada keadaan musayyasah (dituntun oleh agenda politik orang lain) kepada umat yang memiliki kekuatan dan mempunyai risalah sehingga terbentuknya siyadah kamilah (ketuanan mutlak).

Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

2 Komen untuk entri “ISMA tekad bangunkan semula jatidiri dan keperibadian umat khususnya Melayu”

  1. drhatta says:

    Assalamualikom,
    Boleh dapatkan satu salinan kertas kerja tersebut?

  2. [...] *Diterjemahkan daripada berita ‘ISMA tekad bangunkan semula jatidiri dan keperibadian umat khususnya Melayu’. [...]