Ibu, engkaulah ratu hatiku
Saban tahun, kita mengambil tarikh 9 Mei sebagai tarikh untuk menyambut Hari Ibu. Pada hari inilah, anak-anak melakukan kejutan kepada ibunda tersayang dengan memberikan hadiah atau paling tidak pun, mengucapkan ‘Happy Mothers Day’ kepada ibu masing-masing. Hakikatnya, 364 hari yang selebihnya dalam tahun itu, pernahkah kita teringat untuk menghargai ibu kita – walaupun hanya dengan sekadar ucapan ‘terima kasih ibu’?
Nilaian manusia terhadap peranan ibu sangat menyedihkan. Ada anak-anak yang malu apabila menyatakan ibu mereka hanya seorang suri rumah tangga, bukan doktor, jurutera, arkitek dan sebagainya. Bukankan peranan ibu adalah semulia-mulia pekerjaan. Ibu adalah lambang kasih sayang dengan naluri pendidik yang tidak pernah lentur.Ibu menjadikan kita “hero” dalam kehidupan kita. Ibu membuatkan kita merasakan kehidupan ini semua adalah untuk kita! Ibulah menjadikan kita istimewa dalam semua sudut.
Hari ini ibu disibukkan dengan urusan teknikal dan serba rutin yang membosankan lagi remeh. Ibu disibukkan dengan mencuci, menggosok baju, memasak, mengemas dan bermacam-macam lagi tugasan teknikal yang di bebankan kepada ibu. Ibu yang sepatutnya memfokuskan kehidupan kepada mendidik anak anak dan membentuk akhlak yang tinggi terpaksa menyerahkan tugas yang mulia ini kepada pembantu rumah atau kepada pihak sekolah semata-mata.
Kita sebagai generasi pejuang yang berusaha menjadikan kehidupan kita ini keseluruhannya untuk Allah semata-mata perlu sedar yang hakikatnya, ibu dan bapa adalah pendidik kita yang utama. Ibu kitalah yang mengenalkan kepada kita erti perjuangan. Ibu si pejuang tidak akan menyibukkan kehidupan anaknya hanya dengan persedian keduniaan semata, dan mereka juga tidak mengajar anak mereka untuk meletakkan dunia di hati.
Jika kita hayati kisah Abdullah bin Zubair dengan bondanya Asma’ binti Abu Bakar, ianya amat sarat dengan makna sebuah perjuangan.
Di dalam didikannya terhadap anaknya, Asma’ binti Abu Bakar membentuk keperibadian Abdullah bin Zubair dengan penuh kasih sayang. Beliau adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau melahirkan keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera Islam dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.
Keperibadian seperti ini terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di antara seorang ibu dan anak yang saling menyayangi di antara satu sama lain, semata-mata kerana kecintaan keduanya kepada Allah dan RasulNya.
Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma’: Wa’alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?
Abdullah: Aku hendak bermusyawarah (berbincang) dengan ibu.
Asma’: Tentang masalah apa?
Abdullah: Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?
Asma’: Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau
menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!
Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.
Asma’ : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukaruntuk dipercayai!
Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma’: Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya disiat orang!
Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!
Asma’: Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak mempedulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.
Asma’: Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu…”
Abdullah: Jangan bosan mendoakan aku Ibu!
Sebelum matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma’ setelah Abdullah terbunuh :”Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku terhadap puteramu ?” Asma’ menjawab :”Engkau telah merosak dunianya, namun dia telah merosak akhiratmu.” Asma’ wafat di Makkah dalam usia 100 tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya masih sempurna.
[Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam].
Hakikatnya, hari ibu adalah setiap hari, bukan hanya pada 9 Mei. Lebih-lebih lagi, sedarkah kita yang budaya meraikan hari ibu pada 9 Mei mempunyai urutan yang berasal-usul dari kepercayaan jahiliyyah?
Hadiah untuk ibu adalah syurga, InsyaAllah.
Ibu, kaulah segalanya untukku.
Oleh: Dr Mohamad Zaki Ibrahim,
Pengerusi ISMA Australia,
Blog: Dr Zaki Ibrahim


