|

Hari Keluarga ISMA Port Dickson semarak ukhuwwah

Kuala Linggi, 25 Mei – Sekali lagi program yang melibatkan semua ahli ISMA Port Dickson iaitu Hari Keluarga ISMA PD diadakan dengan jayanya di Kuala Linggi, Melaka. Program ini pada awalnya dijangkakan akan diadakan di Cameron Highlands, walau bagaimanapun lokasi terpaksa digantikan di Kuala Linggi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Seramai hampir 50 orang termasuk 10 buah keluarga sama-sama hadir bagi menjayakan program Hari Keluarga ini.

Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan ucapan daripada YDP ISMA Port Dickson iaitu En. Ja’far Suradi. Antara intipati ucapan beliau termasuklah pengharapan agar ikatan ukhuwwah antara ahli-ahli ISMA PD dapat dikukuhkan lagi dengan adanya program seperti ini. Menurut beliau lagi, progam sebegini perlu diteruskan agar ahli-ahli dapat berkumpul seperti sebuah keluarga yang besar. Beberapa acara yang turut diadakan semasa Hari Keluarga ini ialah cabutan bertuah dan acara bertukar-tukar hadiah.

Antara tetamu yang turut hadir iaitu YDP ISMA Seremban, Ustaz Azizee bin Hasan dan beberapa orang ahli ISMA Seremban yang lain. Pelbagai juadah yang dihidangkan pada malam tersebut merupakan hasil tangan ahli-ahli ISMA PD sendiri. Semoga majlis seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan agar jalinan ukhuwwah di kalangan ahli dapat disuburkan dan mendidik sifat kebersamaan, seterusnya mewujudkan satu perhimpunan “Keluarga Besar” ISMA PD.

Sumber: Blog ISMA Negeri Sembilan