Disiplin murid; dalam dan luar sekolah
Bismillah, walhamdulillah…
Baru-baru ini saya mengendalikan kes dua orang murid yang pernah didapati bersalah kerana ber’couple’. Sesi ‘penyiasatan’ berjalan beberapa kali dan melibatkan lebih dari dua orang. Antara kesimpulan yang saya buat ialah:
1. Murid hanya fokuskan disiplin dan peraturan dalam kawasan sekolah.
Adapun di luar sekolah, tiada siapa boleh masuk campur. Kerana dalam kefahaman mereka, kesalahan di luar kawasan sekolah tidak akan direkodkan dalam rekod salah laku mereka. Tapi saya tekankan, seorang muslim harus berpegang dengan akhlaq Islam di dalam dan luar sekolah. Andai kata ada aduan sampai ke pengetahuan saya, disertai bukti dan saksi, saya perlu tangani sebagai menjalankan amanah ‘amar makruf, nahi mungkar’. Lebih saya bimbang, jika ada penjaga yang berkata; Ustaz, anak saya buka tudung dan ‘couple’ di luar sekolah. Tak payahlah ustaz sibuk-sibuk!
2. Kalau kita ada buat salah, jangan sibuk dengan kesalahan orang lain.
Kononnya, baiki diri sendiri dulu sampai sempurna. Sesungguhnya yang sempurna, hanyalah al-maksum SAW. Saya memang maklum bahawa ramai murid perempuan (termasuk murid sekolah agama) hanya bertudung dalam kawasan sekolah. Tidak kurang juga yang solat 2 atau 3 waktu sahaja sehari! Maka kekurangan yang ada ini secara automatik menghalang mereka untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh rakan mereka yang lain. Tidak peliklah, kemungkaran semakin berleluasa!
Saya tekankan kepada mereka, mencegah adalah wajib walaupun oleh orang yang sedang melakukan mungkar itu sendiri. Memang pelik bunyinya bukan? Contoh; orang yang mendedahkan aurat, wajib menegah orang lain dari mendedahkan aurat dsb. Jika tidak, dia akan dapat dua dosa. Cuma, mungkin dari keberkesanannya agak kurang, kerana ‘cakap tak serupa bikin’! Tapi, sekurang-kurangnya dia telah melepaskan kewajipan mencegah mungkar.
3. Jangan jaga tepi kain orang lain, demi persahabatan.
Tak usah sibuk-sibuk hal orang lain. Dia orang nak ‘couple’, hisap rokok dan buka tudung… biarkan! Saya jelaskan, kita bimbang jika maksiat berleluasa dan kita tidak membendungnya, nanti Allah akan timpakan azab bencana ke atas semua orang. Si pelaku maksiat dan orang yang baik-baik juga. Sebab ancaman Allah itu termaktub dalam Al-Quran. Demi persahabatan? Biarlah kawan tu berkecil hati dengan teguran kita. Kerana sahabat sebenar berani menegur kesilapan, dan itu adalah tanda sayang kita kepadanya, bukan setakat di dunia, tapi membawa ke akhirat.
Saya cuba fahamkan dan tanamkan asas-asas ini kepada anak-anak murid saya dengan harapan mereka terdidik dan menjadi muslim muslimah sejati…
Ya Allah!
Tunjukilah aku jalan dan kurniakan aku kekuatan
untuk membimbing anak bangsaku,
sama-sama menuju redha Mu…
Wassalam.
Oleh: Ustaz Azzahar bin Abd. Aziz,
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
ISMA Cawangan Seremban
Blog: Catatan Kehidupan

