|

Sistem perhambaan moden

Setiap kali disebut frasa ‘perhambaan’ pasti terbayang di benak fikiran akan seseorang yang berkulit hitam, bertubuh lemah kerana kurang nutrisi, disalahgunakan dan diikat dengan rantai. Perhambaan sedemikian rupa pastinya sudah tidak wujud lagi pada zaman ini.  Bahkan sesetengah pihak mungkin mengagung-agungkan Abraham Lincoln, malah berterima kasih terhadap  jasanya yang besar dalam menghapuskan sistem perhambaan dan hak asasi manusia. Seolah-olah beliaulah yang menemui kunci hak asasi manusia untuk bebas dari belenggu perhambaan ini.

Namun sedar atau tidak fenomena ‘perhambaan’ ini masih wujud lagi pada zaman siber kini. Malahan lebih teruk dari perhambaan kulit hitam dan sistem kasta di India. Sumber Persatuan Buruh Antarabangsa (International Labour Organizatiion-ILO) mengeluarkan statistik bahawa setiap tahun, antara 700 ribu hingga 4 juta manusia diperdagangkan sama ada sebagai buruh paksa, mahupun pelacur. Dan lebih 1.2 juta daripadanya merupakan kanak-kanak berumur dari 10 sehingga 18 tahun. Ini bermakna setiap seminit, 2 orang kanak-kanak akan diperdagangkan tubuh mereka.  Sebahagiannya dijadikan pelacur. Mereka akan dikurung, dibiar kelaparan, dipukul, diugut dengan pistol, sehingga mereka akur untuk melayan ‘pelanggan’ mereka atau akur dengan tugasan yang diberi, mengemis dan sebagainya.

Di sesetengah negara, penjualan kanak-kanak ini disengajakan dan didalangi sendiri oleh ibubapa mereka kerana faktor kemiskinan yang membebani. Anak-anak dijual bagi mendapatkan sesuap nasi bagi seisi keluarga. Di Ghana misalnya, seorang budak lelaki dijual oleh keluarganya dengan harga £25 (RM 150). Cukup bagi untuk satu keluarga bertahan selama 2 bulan.

Di Malaysia, fenomena ini turut mendapat tempat yang meluas. Pada tahun 2004, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia melaporkan 1,656 kes penderaan kanak-kanak dengan bilangan kes tertinggi melibatkan pengabaian dan penderaan seks kanak-kanak. Pengalaman antarabangsa pula menyarankan bahawa kes yang dilaporkan mungkin hanya mewakili 10% daripada jumlah kes yang berlaku. Namun, sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita bersyukur kerana terdapat undang-undang bagi memelihara kanak-kanak daripada terus diperhambakan. Akta Kanak-Kanak 1991 diwartakan bagi memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat perlindungan, pelajaran, kesihatan yang sewajarnya.

Undang-undang yang berkaitan

Seksyen 18 (1), (2), Kanun Jenayah Syariah
Kesalahan melacur isteri atau anak dan hukum yang disabitkan (denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya).

Seksyen 19, Kanun Jenayah Syariah 1988
Kesalahan perempuan yang melacurkan diri sendiri atau hukumannya (denda tidak lebih Rm 4000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya).

Walau bagaimanapun, di Malaysia angka bilangan jenayah kanak-kanak terus meningkat saban tahun. Apakah penyelesaiannya?

ISLAM PENYELESAIAN

Abraham Lincoln, Presiden Amerika Syarikat ke-16 (1861-1865) telah dikatakan mengubah sejarah dunia dengan menghapuskan sistem perhambaan di Amerika Syarikat. Beliau merupakan Presiden Amerika Syarikat pertama dibunuh kerana menentang perhambaan. Sedangkan Ar-Rasul s.a.w diutuskan terlebih dahulu (571 M) dengan membawa risalah yang syumul, lengkap dan menyeluruh sesuai untuk keperluan manusia dalam mengatur hidup dari segi kemasyarakatan, ekonomi sosial dan lain-lain.

Penumpuan dalam pembentukan masyarakat majmu’ yang berakhlak mulia merupakan aset penting dalam menjamin keharmonian negara. Dan asas bagi sesebuah masyarakat itu ialah setiap individu-individu yang betul-betul melazimi ajaran Islam secara total.

Muncul Islam menukar samar jahiliyah kepada sinar aqidah, perhambaan sesama manusia kepada perhambaan pada Allah sahaja. Islam merubah sistem masyarakat Mekah yang rosak dan bercelaru nasabnya kepada tamadun berakhlaq dan suci keturunannya. Islam juga menyeru kepada penganutnya untuk menjauhi zina dan menindas golongan yang lemah.

Jadi, apa peranan kita sebagai muslim yang benar-benar memahami Islam sebagai penyelesaian kepada setiap permasalahan hari ini?

Wallahu’alam.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Rujukan

  1. BBC- The World of Modern Child Slavery
  2. U.S Agency for International Development (U.S.A.I.D)
  3. Undang-undang Malaysia, Akta 468, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991
  4. Raheeq Makhtum, Sirah Rasulullah S.A.W
  5. Biografi Abraham Lincoln -Wikipedia
  6. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat