|

Seminar Musim Luruh menyemarakkan nilai-nilai Islam

New ZealandSempena kehadiran Ustaz Mus’ab Norkefli, graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang juga merupakan wakil Sekretariat Luar Negara ISMA ke bumi New Zealand, pihak ISMA-NZ telah menganjurkan dua seminar utama, iaitu Seminar Asas-Asas Islam dan Seminar Pemikiran Hasan Al-Banna di setiap lokaliti di New Zealand, sejajar dengan aspirasi ISMA untuk membina generasi harapan,

Siri-siri seminar ini telah bermula pada 7 April apabila Seminar Asas-Asas Islam yang pertama dilancarkan di Dunedin. Seminar ini dibahagikan kepada 4 sesi yang menyentuh topik-topik seperti Ulum Syara’, Ulum Hadith, Pengantar Syariat serta Sosial dan Kekeluargaan. Pada 10 April pula, kira-kira 50 orang pelajar telah menghadiri Seminar Pemikiran Hasan Al-Banna yang telah diadakan di Masjid Al-Huda, Dunedin. Antara isu yang menjadi fokus adalah ucaptama Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA yang dibentangkan semasa KOBANNA Januari lalu. Para hadirin didedahkan dengan relevansi dan kaitan antara Hasan Al-Banna dengan tanahair Malaysia, juga tentang kepentingan untuk bersatu dalam melakar agenda umat Islam di Malaysia.

Everton Hall, Wellington pula telah menjadi titik bermulanya siri-siri ceramah di Kepulauan Utara. Pada 15 April, Seminar Asas-Asas Islam di Wellington pula memfokuskan tajuk-tajuk Ulum Quran, Ulum Hadith serta Sosial dan Kekeluargaan. Respon yang diberikan oleh peserta amat memberangsangkan dan soalan-soalan yang diajukan kepada ustaz menunjukkan para peserta sangat berminat untuk lebih mendalami topik yang dibentangkan. Seminar Pemikiran Hassan Al-Banna di Wellington pula diadakan pada 17 April dan telah berjaya melahirkan rasa semangat untuk turut sama berusaha dan menyumbang dalam memastikan kesatuan umat Islam. Program ini bertambah serinya apabila diberi penghormatan untuk menerima kunjungan En. Adi Affendi b. Abdul Halim, Setiausaha Kedua (Politik) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand.

Begitu juga keadaannya di Palmerston North apabila Seminar Pemikiran Hassan Al-Banna telah diadakan pada 24 April 2010. Di akhir seminar ini, para peserta ditinggalkan dengan dua pilihan, samada bangkit bersatu atas agenda sendiri atau terus berpecah dengan melaksanakan agenda orang lain. Pada 25 April pula, Seminar Asas-Asas Islam telah berjaya diadakan di International Community Centre (ICC) Tajuk yang dipilih adalah Pengantar Syariat dan Ulum Quran. Antara kupasan yang menarik semasa seminar ini adalah bahawa syariat Allah itu dibina atas dasar ilmu, dan bukannya hawa nafsu. Rata-rata peserta menerima baik pembentangan dari Ustaz Mus’ab dan menunjukkan minat untuk mendalami ilmu-ilmu Islam.

Di Auckland pula, Seminar Asas-Asas Islam telah berjaya diadakan di iSpace University of Auckland pada 1 Mei 2010. Seminar ini telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 30 orang peserta lelaki dan perempuan dengan pembentangan yang berkisarkan topik UIum Quran serta Sosial dan Kekeluargaan. Para peserta telah didedahkan dengan kepentingan keluarga sebagai batu asas kepada masyarakat dan peranan golongan berilmu dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Dengan berakhirnya seminar di Auckland tersebut, maka selesailah siri-siri seminar pembangunan jiwa di seluruh New Zealand bagi musim luruh 2010. ISMA-NZ ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Ustaz Mus’ab Norkefli di atas kesudian beliau untuk berkongsi ilmu pengetahuan. Pihak penganjur juga merasa bertuah dan bersyukur dengan kelancaran majlis dan sangat berterima kasih di atas sokongan yang diberi oleh semua pihak tidak kira secara langsung atau tidak langsung. ISMA-NZ juga ingin menyatakan komitmen yang jitu dan padu dalam usaha berterusan ke arah pembinaan generasi harapan menerusi program-program seumpama ini di masa akan datang. Justeru itu, marilah bersama kami; ‘Membina Generasi Harapan’.

Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand