Seminar ‘From Zero To Hero’ buka minda pelajar
Sydney, 25 April – “Dalam dunia ni, banyak benda yang kita TAHU, tapi sebenarnya, banyak lagi benda yang kita TAK TAHU. Tapi sebab kita dah TAHU apa benda yang kita TAHU, kadang-kadang kita decide untuk TAK NAK TAHU apa benda yang kita TAK TAHU, sebab kita takut apa benda yang kita TAK TAHU itu, bila kita TAHU akan mengubah apa yang kita sudah TAHU.”
Tersentak. Terkedu. Terasa.
Ya, mungkin aku pernah tergolong dalam golongan seperti di atas, yang selalu merasakan diri ini sudah cukup matang, dan sudah boleh hidup sendiri. Hal yang sama mungkin dirasai oleh sebahagian besar hadirin yang lain, apabila memikirkan tentang diri sendiri. Mungkin.
“Life is all about perception”. Sekali lagi aku tertampar! Banyak kali diri ini tertipu dengan propaganda orang lain. Sesuatu itu sebenarnya indah, tetapi mata hati ini kerapkali menaksirkannya sebagai sesuatu yang bosan dan tidak perlu.
Berikut adalah antara bait-bait yang terngiang-ngiang di benak fikiran aku, selepas sahaja menghadiri seminar “FROM ZERO TO HERO” yang berlangsung di Redfern Community Centre, Sydney. Seminar yang bermula seawal 10.30 pagi ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana telah dihadiri oleh sekitar 35 orang mahasiswa dan 35 orang mahasiswi. Suatu angka yang sangat di luar jangkaan.
Cuaca pagi yang agak sejuk itu seolah-olah telah dihangatkan oleh sesi perkongsian yang telah disampaikan oleh saudara Dr. Rozanizam bin Zakaria. Dengan pengalamannya sebagai seorang doktor perubatan di salah sebuah hospital di Adelaide, Dr. Rozanizam telah membawa semua hadirin untuk bersama-sama memikirkan tentang diri sendiri, sesuatu yang sangat jarang dilakukan oleh kebanyakan dari kita. Seminar motivasi ini juga turut menyingkap betapa kita sebenarnya adalah seorang “jagoan” atau HERO yang langsung tidak kita sedari selama ini. Sesi motivasi yang berlangsung selama 4 jam ini turut melemparkan beberapa persoalan terhadap para pendengar seperti “Apakah yang kita (sebagai HERO) perlu lakukan untuk mengubah orang-orang lain (masyarakat) dari jenis ZERO menjadi HERO?”. Ianya ternyata berkesan! Dari riak wajah pendengar, ramai yang mula memikirkan status diri masing-masing, mungkin bertanya pada diri sendiri, apakah dia HERO dalam keluarga atau masyarakat yang dia diami.
Slot kedua seminar FZTH tampak lebih menarik, apabila para pendengar disajikan dengan tayangan video realiti umat masa kini. Ramai yang mengetap bibir. Tidak kurang juga yang “terbakar” atas apa yang berlaku terhadap umat Islam, lebih-lebih lagi di Malaysia.
Teruk! Memalukan!
Jauh dari pegangan Islam!
Biarpun tanpa penerangan yang panjang lebar oleh si penyampai, beberapa video realiti umat yang dipertontonkan sudah cukup untuk mengoncangkan bahu-bahu para peserta untuk berubah. Sesi kedua ini kemudiannya digulung dengan begitu baik oleh Dr. Rozanizam, apabila beliau menggariskan beberapa perkara penting yang perlu kita pertahankan selamanya, selagi hayat dikandung badan, yang selari dengan sirah nabawiyah nabi SAW. Antara perkara yang disebutkan ialah Aqidah dan Syariat, dua perkara pokok yang menjamin kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Singkapan sirah tentang Nabi Ibrahim AS dan penyelewengan yang berlaku di zaman selepas itu seperti tawaf di sekeliling kaabah dalam keadaan bogel sudah cukup menjadi bukti bahawa Aqidah dan Syariat adalah pokok pangkal keberjayaan umat manusia.
Seminar yang dipengerusikan oleh saudara Azrul Nizam Yusof ini, akhirnya sampai ke garisan penamat pada jam 2.15 petang. Di kesempatan ini, ISMA-NSW ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berbahagia, Dr. Rozanizam Zakaria di atas kesudian beliau untuk berkongsi pengalaman. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada semua mahasiswa/i yang hadir di atas kesudian tuan/puan untuk menjayakan majlis ilmiah seperti ini. Harus diingat, kesedaran sahaja tidak mampu menjadikan anda HERO yang sebenar, tetapi ia memerlukan anda untuk bergerak dan menjalankan peranan anda. Bak kata Faisal Tehrani dalam karyanya, “Hidayah Allah itu umpama cahaya, tak menyapa kamar yang tidak dibuka jendelanya”.
Akhir kalam, renungilah bait-bait berikut. Moga bermanfaat untuk semua.
“Thousand miles journey begins with your very first step. For things to change, you MUST change first!”
Wallahu a’lam.
Sumber: Laman Web ISMA Australia



