Mereka bebas, sedang kita yang terpenjara
Berita-berita yang sering kita baca dari akhbar elektronik mahupun cetak perihal keadaan semasa di Palestin pasti mencemaskan setiap jiwa yang masih dilimpahi cahaya iman.
Saban hari, angka kematian atau lebih tepat kita istilahkan angka kesyahidan mereka yang meningkat pastinya menyesakkan nafas, mematikan tawa. Tangan-tangan laknat itu jelas tidak pernah mengenal usia. Dan mereka yang terus bertahan, kalaupun masih punya hari tersisa, terus terhimpit, terbuang di tanahair sendiri. Pada zahirnya, itulah yang dunia nampak pada mereka, terbuang dan terpenjara. Namun ketahuilah, mereka sebenarnya bebas sedang kita yang sebenarnya terpenjara.
Kita terpenjara dengan nafsu!
Seorang rabi Yahudi pernah mengungkapkan, selamanya umat Islam tidak akan dapat mengalahkan Yahudi Zionis melainkan bilangan umat Islam yang bersolat jemaah di masjid pada waktu Subuh menyamai bilangan mereka pada solat Jumaat. Nah, bahkan rabi Yahudi itu pun begitu arif dengan sumber utama kekuatan umat Islam – hubungan dengan Allah swt!
Malang sekali, ramai di antara kita yang masih begitu sulit meninggalkan tilam yang empuk. Kelazatan dan keasyikan di alam mimpi lebih kita utamakan dari menghadap mengadu kepada Yang Esa. Jangankan untuk menghidupkan sepertiga malam, berada di masjid untuk solat subuh berjemaah pun begitu berat dan sulit. Usahlah terus berangan untuk membebaskan Palestin dan Al-Quds jika diri kita sendiri belum bebas dari penjara nafsu.

Berlainan dengan saudara kita di sana. Mereka dipilih oleh Allah untuk berada di barisan hadapan ketika umat Islam dilanda fitnah. Walaupun berhadapan dengan berbagai kesulitan dan ancaman, halangan dan pengepungan, mereka sedaya mungkin berusaha untuk berada di masjid untuk solat jemaah, Subuh dan waktu lainnya. Itulah sebenarnya rahsia mereka masih mampu mempertahankan kesucian tanahair umat Islam dan aqidah mereka walau dunia seluruhnya menentang.
Sesungguhnya saudara kita di Palestin telah menginfaqkan seluruh harta dan jiwa mereka untuk agama ini, tiadalah dunia ini pada pandangan mata mereka melainkan barang dagangan untuk membeli syurga Allah. Maka berbahagialah mereka dengan khabar gembira yang Allah rakamkan dalam firmanNya (At-Taubah: 111):

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
Maka benarlah, mereka sebenarnya bebas sedang kita yang terpenjara!
Kita terpenjara dengan persepsi dan pengiktirafan musuh!
Sesungguhnya peperangan pada hari ini bukan lagi hanya terhad kepada perang persenjataan. Bahkan kita mungkin telah dikalahkan oleh musuh tanpa sebenarnya kita sedar. Musuh umat Islam hari ini menyerang dengan pelbagai cara. Pelbagai falsafah dan kefahaman yang karut dan bersimpang-siur dicampak ke dalam pemikiran umat Islam sehingga generasi umat Islam hari ini seolah-olah tenggelam dan hanyut. Begitu juga pelbagai hiburan yang kononnya menepati fitrah manusia tetapi hakikatnya jelas rosak dan merosakkan.
Bahkan lebih parah lagi, apabila generasi umat Islam sekarang melihat setiap yang datang daripada musuh itu benar dan selari dengan peredaran waktu dan zaman. Justeru, mereka berlumba-lumba mendapatkan pengiktirafan musuh-musuh Islam tanpa mereka sedar yang sebenarnya mereka merelakan diri mereka menjadi alat untuk musuh melaksanakan agenda mereka.
Indikator kemajuan bangsa diletakkan pada jarum penanda musuh! Setiap yang menepati kehendak musuh, itulah yang diistilahkan sebagai kemajuan, sedang setiap yang mengundang persepsi buruk mereka, itulah yang dianggap kolot dan ketinggalan zaman, Walaupun terpaksa memisahkan agama dengan pemerintahan. Maka hiduplah sebahagian besar umat Islam sekarang dengan disibukkan dengan agenda musuh sedang agenda kebangkitan umat Islam hanya segelintir yang peka dan sedar dengannya.
Berlainan dengan saudara kita di Palestin, mereka bebas menilai kemajuan pada kaca mata Islam. Tanpa perlu mereka sibuk mengejar pengiktirafan dari musuh-musuh Islam. Maju mereka dengan dekatnya mereka dengan Tuhan. Maju mereka dengan hidupnya keluarga mereka dengan budaya Islam. Maka dengan pilihan Allah mereka kini berada di barisan hadapan.
Maka benarlah, mereka sebenarnya bebas sedang kita yang terpenjara!
Kita terpenjara dengan kesibukan!
Hadis Nabi saw ada menyebut:

“Rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara; masa muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, dan hidup sebelum mati” (HR Imam Ahmad).
Bukan sedikit mereka yang pada awalnya begitu bersemangat dengan kalimah-kalimah perjuangan, namun bukan sedikit juga dari mereka yang akhirnya tewas apabila dihidangkan dengan kesibukan dunia. Jangan terkejut jika hari ini, kamu melihat seorang pemuda begitu bersungguh menyatakan keinginannya untuk memperjuangkan Islam, namun keesokannya dia mengasingkan diri dengan alasan kesibukan!
Renungilah firman Allah swt (al-Fath: 11):

11. Orang-orang “A’raab” (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (Wahai Muhammad): “Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami”. Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan dari Allah jika Dia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? (Tidak ada sesiapapun, dan apa yang kamu katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha mendalam pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Dia akan membalasnya).
Tanpa kita sedari, sebahagian umat Islam sekarang jelas tertipu dengan fitnah kesibukan dengan dunia sepertimana yang diceritakan oleh Allah swt dalam ayat di atas perihal sebahagian orang Islam pada zaman Nabi saw yang ketinggalan dari turut serta dalam rehlah Nabi ke Hudaibiyah. Kita hari ini banyak disibukkan dengan harta benda dan anak pinak seolah-olah itulah matlamat kita dihidupkan di dunia. Sedangkan semua itu hanyalah wasilah atau jalan untuk kita meraih matlamat asal kita; menggapai redha Allah swt.
Berlainan dengan saudara kita di Palestin, keseluruhan hidup mereka disibukkan dengan usaha menegakkan kalimah Allah dan mempertahankan kesucian tanahair umat Islam. Harta dan anak-pinak mereka benar-benar telah menjadi wasilah untuk mereka menggapai redha Allah swt. Maka benarlah, mereka sebenarnya bebas sedang kita yang terpenjara!
Penutup
Saudaraku yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya perjuangan membebaskan Al-Quds dan Palestin adalah perjuangan mempertahankan aqidah dan tanahair umat Islam. Dan sesungguhnya kemenangan itu pasti, jika bukan kita, akan masih ada orang yang dipilih Allah untuk memperjuangkannya sebagaimana hadis Nabi saw:

“Sentiasa ada sekelompok dari umatku yang memperjuangkan kebenaran, ke atas musuh mereka, tidak membahayakan mereka orang yang menghinakan mereka, sehingga datang keputusan Allah, dan mereka tetap begitu.” (HR. Muslim)
Begitu juga peringatan daripada Allah swt dalam surah At-Taubah, ayat 39:

39. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Maka, sediakanlah diri kita untuk menjadi asbab berhasilnya kemenangan.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir

