MABIT ISMA-Mesir bawa persoalan: Mengapa Islam?
Dr. Yusof Al-Qardhawi telah menjelaskan 3 sebab utama mengapa Islam perlu disebarkan di dalam buku kecilnya yang bertajuk ‘Limaza Al-Islam?’. Buku ini telah pun dibentangkan oleh Ustaz Mohd. Firdaus Salleh Hudin semasa Malam MABIT Bulanan ISMA-Sayeda baru-baru ini.
Pertama, iman yang padu kepada Allah menyebabkan kita perlu menyampaikan Islam. Kedua, tamadun Islam yang hebat adalah bukti bahawa Islam sahaja yang mampu menyelesaikan masalah umat Islam sekarang. Ketiga, realiti umat yang amat dahsyat kini adalah berpunca daripada keterikatan kita dengan ideologi-ideologi buatan manusia. Dengan itu, kembali kepada Islam adalah langkah penyelesaian yang terbaik.
Mabit yang berlangsung di Rumah Abu Rish telah dihadiri seramai 17 orang mahasiswa perubatan. Mereka telah berjaya menghidupkan malam dengan qiyamullail dan kemudian solat Subuh berjemaah. Sebelum bersurai, para peserta dihidangkan dengan kisah sahabat Abu Zar Al-Ghifari disampaikan oleh Abd. Azim Al-Abrar.
Menurut Pengarah Program, Saudara Muhammad Ikmal Mohamad Kamil, pelajar perubatan tahun 4 Universiti Kaherah, mahasiswa yang merupakan tonggak kebangkitan ummah perlu menjadikan qiyamullail sebagai kewajiban harian supaya mereka mampu menanggung beratnya amanah sebagai khalifah. Beliau juga berkata, program-program seperti in wajar diteruskan di masa hadapan.
Syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir


