Lawatan Semai Kasih memupuk keprihatinan sejagat
Melaka Tengah, 30 April – Keceriaan jelas terpancar pada wajah pesakit-pesakit di Wad Pembedahan, Hospital Besar Melaka apabila masih ada lagi insan yang mengambil berat tentang nasib mereka di sana. ISMA Melaka mengorak langkah ke arah mengesani masyarakat dengan terlibat aktif dalam penganjuran Lawatan Semai Kasih 2010 anjuran bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan NGO-NGO Islam Melaka dengan kerjasama pihak Hospital Besar Melaka sebagai satu wadah untuk memupuk generasi yang prihatin. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hj Ghazale bin Muhamad, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Agama. Turut hadir dalam lawatan ini adalah Pengarah Hospital Melaka, Dr Hj Anwa B Sulaiman.
Program turun padang bersama masyarakat ini dilaksanakan bertujuan untuk menyemai sifat prihatin para peserta terhadap golongan yang ditimpa kesusahan. Selain menanamkan konsep ibadah dan amal soleh yang luas skopnya di kalangan masyarakat, program ini juga menggalakkan amalan bersedekah. NGO-NGO Islam Melaka yang terlibat terdiri daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Tiong Hwa Muslim Melaka (PERTIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Badan Kebajikan Persaudaraan Islam (BAKPIS) dan Persatuan India Muslim Melaka. Seramai 12 orang ahli dan AJK ISMA Melaka hadir termasuklah YDP, Ustaz Ahmad bin Zainal Abidin dan Biro Wanita untuk bersama-sama menyumbangkan tenaga bagi menjayakan lawatan ini.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila kamu menziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik-baik kerana sesungguhnya malaikat mengaminkan terhadap apa yang kamu perkatakan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rombongan yang diketuai oleh YB Ghazale melawat pesakit–pesakit di wad-wad pembedahan untuk menyampaikan sumbangan hamper dengan harapan dapat meringankan beban dan menghadirkan sedikit keceriaan kepada mereka yang berada di dalam wad, terutamanya yang tidak ditemani oleh ahli keluarga di sisi. Sebelum bergerak ke Auditorium untuk upacara perasmian, YB Ghazale sempat menandatangani buku pelawat sebagai tanda kenang-kenangan. Lawatan ini diakhiri dengan upacara pemberian cenderahati kepada pihak Hospital Besar Melaka dan YB Ghazale serta disusuli dengan jamuan.
Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada para dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan, pihak hospital yang memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dan tidak dilupakan YB Ghazale yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama menjayakan program Semai Kasih 2010. Hanya Allah SWT sebaik-baik pemberi ganjaran.
Sumber: Laman Web ISMA Melaka


