ISMA-Mesir (Tanta) anjur Rehlah Jom Taubat!
Tanta, 28 April – ISMA-Mesir cawangan Tanta telah menganjurkan Rehlah Jom Taubat! di kawasan perkuburan Kafr Isom, Tanta Gharbiyah. Program ini dilaksanakan di bawah anjuran Unit Sukan dan Aktiviti Luar.
Pada kali ini, pihak penganjur telah menukar nama program daripada ‘Ziarah Kubur’ ke ‘Rehlah Jom Taubat!’ agar peserta yang hadir lebih memahami objektif yang ingin dicapai oleh pihak penganjur. Peserta yang hadir kira-kira 25 orang yang terdiri daripada mahasiswa Pengajian Islam dan Perubatan.
Program bermula selepas Asar pada pukul 4.30 petang, di kawasan perkuburan Kafr Isom. Pengarah program kali ini (Saudara Fuad Zaki) telah mengajak peserta untuk menghayati makna kebersamaan dan suasana ukhuwwah yang dirasai, dari aspek nasihat-menasihati lebih-lebih lagi dalam waktu-waktu peperiksaan sedang berlangsung di mana kebanyakan pelajar lebih gemar menyendiri untuk mengulangkaji pelajaran. Para peserta bertaaruf secara ringkas pada permulaan program.
Pengarah memulakan perkongsian yang berkisar beberapa contoh para sahabat yang terkesan dengan ayat-ayat Allah lantas menangis, dan cuba membandingkan diri kita sekarang yang sungguh jauh sekali bezanya. Kemudian sesi perkongsian oleh mana-mana peserta yang ingin menyatakan pandangan dan melontarkan perasaan masing-masing.
Antara yang menarik adalah lontaran saudara Izzuddin Azharuddin (pelajar Perubatan tahun 1) beliau menyatakan bahawa perubahan itu bermula sedikit demi sedikit dan tidak perlu gopoh untuk menjadi baik. Dengan hasil pengalamannya, beliau bercerita beberapa contoh praktikal untuk kita terus berubah demi menuju ke arah diri yang lebih cemerlang.
Program disusuli dengan sesi bergambar di kawasan tersebut. Kemudian para peserta dibawa ke rumah Saudara Ahmad Rusydi Jamaluddin (pelajar Perubatan tahun 4) untuk menjamu makanan ringan yang disediakan oleh penganjur.
Program tamat sekitar waktu maghrib dan peserta bersalaman sebelum bersurai.



