|

ISMA menyokong segala usaha bantu Palestin

Dr Amiruddin bersama wakil-wakil NGO yang lain

Shah Alam, 8 Mei Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan membantu Palestin, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah turut serta dalam Konsert LifeLine 4 Gaza anjuran Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) dengan kerjasama beberapa NGO yang lain di Stadium Malawati di sini. Hampir 9,000 orang telah membanjiri stadium sejak petang hingga ke malam untuk sama-sama memeriahkan program.

Delegasi ISMA diketuai oleh Yang Dipertua (YDP) ISMA Cawangan Shah Alam & Klang, Dr. Amiruddin Wahab dan disertai oleh kira-kira 20 orang ahli.

Konsert ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat di negara ini berkaitan Konvoi Menerobos Tembok Kematian di Gaza di samping beberapa siri program pengumpulan dana dalam usaha membantu rakyat Palestin yang berdepan penindasan yang semakin dahsyat.

Dr Amiruddin yang ditemui menyifatkan usaha murni tersebut perlu diteruskan dalam bersama-sama memastikan kiblat umat Islam yang pertama ini dibebaskan sepenuhnya dari cengkaman puak pelampau Zionis Yahudi.

Ujarnya lagi, ISMA menyokong penuh segala usaha dalam membantu mengurangkan kesengsaraan dan kesusahan rakyat Palestin yang tidak henti-henti ditekan semenjak tahun 1948.

Program seumpama ini juga membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia khasnya mampu bersatu di atas satu matlamat yang sama tanpa mengira perbezaan fahaman politik dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, tambah Dr Amiruddin.