|

Bangsa perkasa bermula dengan keluarga yang sejahtera – Ustaz Halim

Shah AlamForum Keluarga Muslim anjuran Biro Wanita dan Keluarga ISMA Shah Alam & Klang (SAK) dengan kerjasama Biro Baitul Muslim ISMA SAK dan Persatuan Belia Islam (PEMBINA) Selangor telah diadakan dengan jayanya di Kompleks Yayasan RESTU, Taman Seni Islam, Shah Alam. Kehadiran seramai hampir 120 peserta, melebihi sasaran yang dijangkakan dan majoriti peserta adalah bujang yang rata-ratanya berazam untuk membina keluarga Islam (Baitul Muslim).

Majlis telah dirasmikan oleh Yang Dipertua ISMA SAK, Dr. Amirudin Abd Wahab dengan diikuti oleh slot pembentangan kertas utama dan slot forum. Untuk slot yang pertama, bertajuk “Bait Muslim” disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden ISMA  sementara slot forum dikendalikan oleh Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA SAK, Ustaz Mohd Azrin b Shamsudin dengan ahli panel yang terdiri daripada Ustazah Norakhilah Baharin, Ketua Wanita ISMA Perak dan Encik Shahril Sharip Atiqi dari Sekretariat Luar Negara ISMA (SEKTAR).

Sebagai mukaddimah kertas kerja Bait Muslim, Ustaz Abdul Halim banyak menekankan kepada perlunya pemahaman yang jelas terhadap konsep & matlamat Bait Muslim itu sendiri bagi memahami aspek positif dan menangani elemen-elemen negatif berkaitannya serta halatuju, wasilah, cabaran serta bekalan dan persiapan yang di perlukan dalam membina baitul muslim ini.

Menurut Ustaz Halim, kini musuh-musuh Islam telah menembusi benteng kubu terakhir umat Islam iaitu di peringkat individu muslim. Mereka telah melalaikan kita dengan pelbagai hiburan yang melampau dan melalaikan disamping merencanakan agenda-agenda yang telah menjadikan umat Islam kita rata-ratanya tidak tahu apakah fungsi dan peranan utama mereka hidup di bumi Allah ini.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Setiap kita bertanggungjawab untuk membina semula tamadun Islam yang agung ini bermula di institusi kekeluargaan selepas individu Muslim yang menepati saranan Islam sebenarnya. Tugas ini cukup besar dan berat yang memerlukan kita bersedia dari pelbagai aspek seperti kefahaman agama yang jelas, fizikal, spiritual dan material ” ujar beliau lagi.

Selain itu, pembentang menerangkan betapa pentingnya pengetahuan hukum hakam serta panduan menentukan ciri-ciri pemilihan pasangan bagi memastikan penerusan tarbiyyah dan dakwah yang lebih mapan dan jitu. Perkongsian pengalaman beliau yang telah membina baitul muslim pada usia yang muda di luar negara dengan contoh-contoh menarik dari pengalaman beliau dalam melayari baitul muslim disamping aktif di medan amal.

Slot forum telah menyajikan perbincangan yg lebih telus dan spesifik  dalam tajuk-tajuk memilih pasangan. Antaranya ciri-ciri calon isteri atau suami, batas-batas perhubungan semasa bertunang, adat-adat yang digalakkan dalam Islam serta, adat hantaran masyarakat Melayu, istilah ”sekufu”, bakal isteri lebih tua, isteri lepasan ijazah, suami lepasan SPM. Beberapa soalan dari peserta juga telah menyemarakkan lagi perbincanagn pada petang tersebut. Individu muslim yang aktif dengan dakwah perlu membuat persedian supaya jelas apabila melangkah ke alam rumahtangga dan seterusnya membina  keluarga dan melahirkan zuriat yang terbentuk daripada jati diri dalam diri mereka. Seiring dengan kata-kata bijak pandai,i nsan-insan yang cemerlang dilahirkan daripada keluarga yang cemerlang.

Di samping itu, program ini juga telah memberi panduan kepada mereka yang mempunyai anak-anak  dan sedang meningkat dewasa. Apakah tindakan yang sewajarnya yang harus diambil oleh ibu bapa dalam mencari pasangan untuk anak-anak. Apakah keutamaan yang harus diambil berat dan banyak lagi.

Forum tamat pada jam 6.00 petang di mana beberapa  peserta merasai masa agak suntuk dan mencadangkan perlunya satu daurah khas bagi membincangkan tajuk Baitul Muslim ini. Moga usaha menjalankan forum ini dapat membantu ahli ISMA membuat persediaan ke arah pembinaan keluarga muslim dan seterunya pembinaan masyarakat muslim yang jelas halatuju dan tanggungjawab penciptaan mereka di muka bumi ini. InsyaAllah.

Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang