|

Ayah mertua qudwah amal dakwah setempat

Sejak saya mendirikan rumahtangga dan berkenalan dengan Al-Marhum ayah mertua saya, Ustaz Hj Ibrahim Ahmad, banyak yang saya pelajari tentang amal dakwah setempat khususnya di kampung atau taman perumahan. Semuanya dalam bentuk pemerhatian saya secara amali terhadap Al-Marhum. Walaupun yang paling baik menerangkan kelebihan Al-Marhum adalah anak-anaknya sendiri, namun saya cuba memaparkan sedikit di sini semoga menjadi qudwah atau teladan kepada para duat, apatah lagi dakwah Islam tidak akan berjaya jika ia tidak berakar umbi di dalam masyarakat lalu merubah mereka ke arah penghayatan Islam yang hakiki.

Al-Marhum (kiri sekali) bersalaman dengan sebahagian penduduk Kg Paya semasa Aidil Fitri 1430H/2009M. Manusia lebih terkesan dengan qudwah (teladan) berbanding dengan undang-undang. Kerana itu proses Taghyir (merubah masyarakat ke arah Islam) mesti didahului dengan Tarbiyah sebagai aspek terpenting di samping aspek-aspek lain (politik, undang-undang dsb.). Jika di setiap kampung dan taman perumahan terdapat duat yang qudwah dan berperanan intensif dalam membimbing masyarakat sekelilingnya, dakwah sudah mula menghampiri penghujung dan kejayaannya. Itulah yang dinamakan “Dakwah Setempat”.

Di segi kehidupan peribadinya, beliau seorang yang warak dan sangat cinta kepada agama. Hampir setiap malam bertahajjud dan hampir setiap pagi bersolat Dhuha. Beliau mempunyai perpustakaannya sendiri berupa beberapa rak buku dipenuhi dengan kitab-kitab agama lama (kitab kuning) dan kitab-kitab moden. Suaranya perlahan, di antara dapat didengar atau tidak oleh orang yang berhampiran dengannya, namun pandangannya diambil penduduk kampung seolah keputusan terbaik pada mereka. Mereka sentiasa senang dan tenang dengan pandangannya.

Di segi keluarga Al-Marhum, kesemua 5 orang anak (2 lelaki dan 3 perempuan) dibesarkan dalam kehidupan Islam yang baik dan tamat pengajian di universiti. Tidak ada seorang pun yang terjebak dalam masalah akhlak mahupun sosial. Kesemuanya telah berumahtangga dan menjalani kehidupan yang baik. Jika berada di kampung, kesemua anak lelaki bersolat berjemaah di surau.

Di segi masyarakat di kampung, tanpa dipertikaikan, Al-Marhum adalah tiang seri mereka. Ia bukan berdasarkan karisma kepimpinan dan kepetahan bercakap, tetapi di segi latar belakang agamanya, tinggi budi pekerti dan hemah, hubungannya dengan Allah swt, kewarakan, pergaulannya yang mesra dan sangat tawadhuk, ingatannya yang kuat serta pandangan dan pengalamannya yang luas. Saya perhatikan dalam perbincangan atau mesyuarat, setiap pandangan beliau walaupun suaranya perlahan, tetapi didengari dan cadangannya sering diambilpakai.

Al-Marhum memimpin solat jemaah, bacaan Yaasin dan tahlil, sembelih korban Aidil Adha, mengajar agama di surau dan masjid, sering menziarahi ahli kariah yang sakit atau meninggal dunia. Sering menerima tetamu di rumah atau menjawab persoalan orang di surau. Qamat tidak dilaungkan sehingga beliau tiba di surau dan selesai memberi salam Solat Sunat Qabliah, walaupun beliau adakalanya agak kelewatan, asalkan muazzin mengetahui beliau ada di rumah kerana keretanya ada di depan rumah, jelas kelihatan dari tingkap surau. Masyarakat kampung sehingga ke hari ini masih bergotong-royong menjayakan kenduri kendara. Surau memiliki khemahnya sendiri, di samping kelas pengajian berkerusi meja dan peralatan lengkap mengurus jenazah. Tiada kemungkaran berlaku di kampung melainkan beliau dan masyarakat berusaha membanterasnya. Beliau berusaha mendapatkan bantuan untuk orang yang memerlukannya.

Al-Marhum bersama kaum keluarganya. Di sebelah kanannya ialah ketiga-tiga menantunya. Di sebelah kirinya ialah isteri dan ketiga-tiga anak perempuannya. Di depan dan belakang adalah cucu-cucunya. Kini beliau rehat di alam barzakh setelah meninggalkan keluarga yang Islamik. “Itulah umat yang telah lalu. Bagi mereka (pahala dan balasan) terhadap prestasi mereka. Dan bagi kamu (pula yang masih hidup, pahala dan balasan) terhadap prestasi kamu. Kamu tidak akan ditanya tentang apa yang telah mereka (yang terdahulu) lakukan” (Al-Quran). Hari ini sampai kepada saya anak-anak segelintir duat yang bermasalah seperti merokok, dibuang sekolah atas kesalahan berat, berpakaian menjolok mata, keluar bersama lelaki dan balik lewat malam dan sebagainya. Tarbiyah anak-anak dan masyarakat memerlukan kejelasan matlamat, fokus dan kesungguhan dalam perlaksanaan. Moga Allah jauhi kita dari kesemua masalah tersebut.

Beliau kuat ingatan terhadap kejadian-kejadian dan terhadap orang-orang yang pernah ditemuinya termasuk sahabat-sahabat saya di Mesir ketika beliau berkunjung ke sana beberapa kali. Beliau kuat menghubungkan silaturrahim dengan menziarahi sanak saudara sebelah emak di sekitar Penang dan sebelah beliau di Kedah.

Ketika Perang Qadisiyah, panglima Islam, Saad bin Abi Waqqas ra memohon kepada Khalifah Umar Al-Khattab ra bantuan tentera seramai 1000 orang. Umar bersetuju tetapi menghantar Qa’qak ra seorang sahaja dengan katanya, “Aku menghantar kepada engkau wahai Saad seorang tentera yang menyamai 1000 orang tentera !”

Dalam aspek amal masyarakat setempat, saya melihat jika seseorang daie (pendakwah) benar-benar berperanan di kawasan tempat tinggalnya, beliau boleh memberi sumbangan kepada dakwah ini sama seperti 1000 orang yang lain atau sekurang-kurangnya memimpin 1000 orang dari masyarakat di sekelilingnya. Ini suatu yang tidak mustahil pada pandangan saya yang melihat  sendiri kehidupan Al-Marhum di tengah-tengah masyarakat Kampung Paya, Seberang Perai Utara.

Akan terus menerus usaha merekrut pendokong-pendokong baru generasi demi generasi dari kedua-dua pihak Haq dan Batil berterusan hingga ke Hari Kiamat. Di pihak Batil mereka membelanjakan wang ringgit yang banyak tetapi mereka akan kalah jua. Program-program mungkar di samping mendapat bantuan dalam, mereka juga sering mendapat bantuan luar terutama Kuasa-kuasa Besar. “Sesungguhnya orang-orang kafir membelanjakan harta mereka untuk menghalang manusia di jalan Allah. Mereka akan terus membelanjakannya, kemudian mereka akan rugi, kemudian mereka akan kalah. Orang-orang kafir akan dihimpunkan ke dalam Neraka Jahannam. Supaya Allah mengasingkan di antara orang-orang yang jahat dari orang-orang yang baik …” (Surah Al-Anfaal). Dakwah Setempat penting dalam mewujudkan rumah dan keluarga di kampung dan taman perumahan yang menjadi benteng serangan budaya Barat dari merosakkan anak-anak dan generasi akan datang.

Di antara kekurangan-kekurangan para duat hari ini dalam Amal Setempat, yang boleh diperbaiki atau ditingkatkan ialah:

  1. Kurang mendampingi di surau atau masjid yang merupakan nadi masyarakat Islam setempat. Dari sedikit golongan yang mendampingi masjid, sedikit pula di kalangan mereka yang berperanan di masjid atau surau.
  2. Kurang pengalaman dan seni dalam bergaul dengan masyarakat di semua lapisan umur serta semua latar belakang pendidikan dan keluarga yang berbeza.
  3. Penumpuan hanya berkisar kepada usaha tajmik dan tarbiyah, tanpa mengkhususkan juga kepada amal Dakwah Setempat. Bahkan berlaku tidak memahami bahawa ia adalah salah satu usaha dakwah yang terpenting dalam mencapai matlamat Islam.
  4. Tiada aspek “Nahi Munkar” (mencegah kemunkaran) yang sedang berlaku, sebaliknya tertumpu kepada usaha-usaha mengajak kepada yang makruf sahaja.
  5. Kurang berperanan dakwah di tempat kerja masing-masing dan hanya memberi tumpuan kepada karier semata-mata seperti guru-guru di sekolah, kakitangan di kilang dan pejabat dan penjaja di warung masing-masing. Usaha-usaha yang nampak kecil seperti menampal poster Islam, memberi kata nasihat, menegur kesalahan dan maksiat, memuji perbuatan yang baik, memakai pakaian selari dengan Syarak di tempat kerja dan kediaman masing-masing sebenarnya memberi kesan besar di dalam masyarakat.

Yang aku mahu dengan (anda berjanji untuk melaksanakan) Rukun Amal ialah Amal sebagai hasil dari gabungan Ilmu dan Ikhlas. Firman Allah swt bermaksud, “Dan katakanlah (kepada mereka) beramallah, maka Allah, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat amalan kamu. Dan kamu akan dikembalikan ke alam ghaib dan nyata, lalu akan diterangkan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan” (At-Taubah: 105). Tingkatan-tingkatan Amal untuk seorang akh/ukht yang jujur dalam janjinya ialah (1) Membaiki jiwa sendiri … (2) Membentuk Bait (Rumahtangga) Muslim … (3) Membimbing masyarakat dengan menyebarkan dakwah yang baik kepada mereka, membanteras kekejian dan kemungkaran, mendorong perbuatan-perbuatan mulia, menyeru kepada makruf, bersegera melakukan kebaikan, menarik public opinion (pandangan massa) ke arah Fikrah Islam, mencorak suasana kehidupan awam dengan celupan Fikrah Islam …” [Hasan Al-Banna]

Kita berdoa semoga Allah swt memberi taufiq dan petunjukNya kepada kita dalam menjalankan tanggungjawab Dakwah Setempat ke arah melahirkan masyarakat Islam yang diinginkan.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku