Wanita ISMA-Mesir juara Kejohanan Bola Jaring anjuran Badan Kebajikan Penuntut Brunei
Kaherah, 16 April – Biro Sukan Dan Kebudayaan ISMA-Mesir telah menerima jemputan untuk memeriahkan Kejohanan Bola Jaring Jemputan yang julung-julung kali dianjurkan oleh Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam Di Kaherah.
Bertempat di Nadi Syabab, Hayyu Sadis, kejohanan ini telah mempertemukan tiga negara yang berbeza budaya dan adat iaitu Brunei, Singapura dan Malaysia. Kejohanan ini disertai oleh empat pasukan iaitu Brunei A, Brunei B, Singapura dan pasukan Wanita ISMA-Mesir yang mewakili Malaysia dan diketuai oleh saudari Ain Zubaidah Rosli.
Turut hadir memberi semangat kepada pasukan Wanita ISMA-Mesir, saudari Zetty Sofia Mohd Zanib selaku Timbalan Ketua Biro Sukan & Kebudayaan ISMA-Mesir dan pengurus pasukan, saudari Hidayatul Sakinah Mohd Zulkifli.
Kejohanan bermula pada jam 9 pagi dan dibuka dengan sesi ‘warming up’ yang dikendalikan oleh pihak penganjur. Berdasarkan konsep permainan kalah mati, kejohanan dimulakan dengan perlawanan dari kumpulan A iaitu pertemuan di antara pasukan Brunei A dan pasukan Wanita ISMA-Mesir. Perlawanan yang sengit ini telah melayakkan pasukan Wanita ISMA-Mesir mara ke perlawanan akhir dengan keputusan 7-4.
Kejohanan diteruskan selepas itu dengan perlawanan kumpulan B yang menyaksikan pertemuan di antara pasukan Brunei B dan Singapura. Perlawanan ini dimenangi oleh pasukan Singapura dan membolehkan pasukan ini mara ke pusingan akhir. Seterusnya, pusingan penentuan menyusul dengan mempertemukan pasukan yang memenangi perlawanan dari kumpulan A dan B.
Pasukan Wanita ISMA-Mesir dan pasukan Singapura telah bertemu dan berentap untuk merebut gelaran juara. Perlawanan yang mendebarkan ini berakhir dengan keputusan 6-2 dan menobatkan pasukan Wanita ISMA-Mesir sebagai juara keseluruhan.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta menyusul setelah tamat perlawanan. Majlis disempurnakan oleh Puan Latifah Hj. Zaini selaku Setiausaha II Kedutaan Brunei Darussalam Di Kaherah. Kejohanan yang penuh dengan suasana ukhuwah ini berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Ketika ditemuramah wakil Media ISMA-Mesir, kesemua ahli pasukan Wanita ISMA-Mesir melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kejayaan dalam perlawanan. Mereka berharap kejayaan kali ini menjadi pemangkin semangat untuk lebih serius dalam latihan dan mendalami teknik-teknik permainan.
Wakil penganjur, Saudari Fahzilleana Emey Bte Ahmad Alisa Eswan selaku Naib Ketua Sukan Badan Kebajikan Pelajar Brunei ketika ditemui berkata, beliau amat berbesar hati kerana pasukan Wanita ISMA-Mesir menerima jemputan ke kejohanan ini dan yang penting bukan menang atau kalah tetapi ukhuwah antara peserta dapat dieratkan. Beliau juga berharap agar pasukan Wanita ISMA-Mesir menerima lagi jemputan pada kejohanan akan datang.
Timbalan Ketua Biro Sukan & Kebudayaan, saudari Zetty Sofia Mohd Zanib mengucapkan jutaan terima kasih atas jemputan dari Badan Kebajikan Pelajar Brunei dan berharap ukhuwah yang terjalin antara 3 rumpun negara akan terus berkekalan. Beliau juga berharap aktiviti yang melibatkan pelbagai pihak sebegini akan lebih banyak dijalankan. Ucapan tahniah juga ditujukan kepada pasukan bola jaring Wanita ISMA-Mesir atas hasil ‘teamwork’ dan kerjasama yang membanggakan. Sesungguhnya itqan atau kesungguhan itu dituntut dalam setiap perkara walaupun bersukan.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan bola jaring Wanita ISMA-Mesir atas kejayaan.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir


