South Island: Berjaulah membina ukhuwwah
Twizel, 9 April – Pekan kecil Twizel di tengah-tengah South Island baru-baru ini dikejutkan dengan kedatangan deretan kenderaan peserta Autumn Road Trip anjuran ISMA New Zealand dari Christchurch dan Dunedin. Seramai 48 orang peserta perempuan dan 21 orang peserta lelaki, dalam 9 buah kenderaan, dari kedua-dua bandar yang bersaudara ini telah turut serta dalam Road Trip selama 3 hari 2 malam ini.
Para peserta dari Christchurch dan Dunedin telah bertemu di Fairlie sekitar waktu tengahari dan singgah sebentar di Mackenzie Agricultural & Pastoral Show yang sedang berlangsung ketika itu. Ramai yang tidak melepaskan kesempatan bergambar dengan haiwan-haiwan ternakan yang dipamerkan seperti Llama, Pony dan Country Sheep.
Walaupun ada yang pertama kali berjumpa dalam Road Trip ini, kehangatan ukhuwwah dan kemesraan terjalin dengan begitu mudah. Sesuai dengan lagu tema yang dipilih, Sebiru Hari Ini nyanyian Edcoustic, langit dan tasik yang membiru sepanjang perjalanan ke Lake Tekapo dan Twizel pada hari pertama menjadi saksi bagaimana tautan hati-hati telah dibina dan dikukuhkan antara peserta dalam masa yang sangat singkat.
Sebiru hari ini, birunya bagai langit terang benderang
Sebiru hati kita, bersama di siniSeindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah
Para peserta telah berhenti rehat dan bermalam di beberapa buah rumah di Twizel yang disewa khas untuk kedua-dua malam sepanjang Road Trip. Aktiviti seperti memasak, kuiz, games, solat berjemaah dan tazkirah telah diadakan di setiap rumah bagi mengisi masa-masa lapang, mengeratkan ikatan di samping melatih sifat kerjasama dan bantu-membantu di kalangan para peserta.
Perjalanan hari kedua diteruskan ke puncak tertinggi di New Zealand, Mt. Cook dan kawasan sekitarnya. Antara kawasan menarik yang sempat disinggahi adalah Lake Pukaki, Mt. Cook Village, Edmund Hillary Alpine Centre, Tasman Valley dan Tasman Glacier Lake. Peserta perempuan telah dibahagikan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan kemudian diberikan tugasan Creative Shots untuk disiapkan semasa kembara di Mount Cook ini.
Para peserta telah berhenti rehat dan bermalam di beberapa buah rumah di Twizel yang disewa khas untuk kedua-dua malam sepanjang Road Trip. Aktiviti seperti memasak, kuiz, games, solat berjemaah dan tazkirah telah diadakan di setiap rumah bagi mengisi masa-masa lapang, mengeratkan ikatan di samping melatih sifat kerjasama dan bantu-membantu di kalangan para peserta.
Perjalanan hari kedua diteruskan ke puncak tertinggi di New Zealand, Mt. Cook dan kawasan sekitarnya. Antara kawasan menarik yang sempat disinggahi adalah Lake Pukaki, Mt. Cook Village, Edmund Hillary Alpine Centre, Tasman Valley dan Tasman Glacier Lake. Peserta perempuan telah dibahagikan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan kemudian diberikan tugasan Creative Shots untuk disiapkan semasa kembara di Mount Cook ini.
Keindahan bumi ciptaan Allah SWT di kawasan-kawasan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata juga dengan ratusan gambar yang telah diambil oleh para peserta setiap kali singgah berhenti.
Keindahan pemandangan matahari naik, diikuti dengan keluasan padang rumput luas terbentang, gunung tinggi menjadi pancang bumi, tasik luas membiru dilatari dengan bukit bukau yang menghijau, bongkah-bongkah ais dengan angin sejuk mencucuk ke tulang, juga dengan langit biru dihiasi dengan awan-awan dan burung berterbangan semuanya dinikmati sepanjang perjalanan penuh makna ini.

Untuk peserta perempuan, waktu petang diisi dengan persembahan tema mengikut kenderaan yang dinaiki. Walaupun masa persiapan agak singkat, setiap kumpulan berjaya menghasilkan persembahan yang mantap dan mencuit hati. Pada sebelah malam pula semasa aktiviti Star Gazing, para peserta telah sama-sama belajar cara untuk mengenalpasti kedudukan arah selatan melalui kedudukan South Star.
Hari ketiga dan terakhir sampai begitu cepat tanpa disedari. Selesai mengemas tempat penginapan, peserta lelaki dan perempuan telah berkumpul di dua tempat yang berasingan untuk aktiviti terakhir dan majlis penutup.
Peserta lelaki telah memilih Twizel Town Activity Centre untuk berkumpul, bermain bola sepak dan frisbee sebelum sesi penutup dan perpisahan antara peserta dari Dunedin dan Christchurch. Sedikit kata-kata peringatan dan pesanan telah disampaikan oleh pengarah program, Sdr. Ridhwan Ruzlan dan juga Ustaz. Mus’ab Norkefli, wakil Sekretariat Antarabangsa ISMA.
Antara peringatan berharga yang menjadi ingatan adalah tentang kepentingan dan hak ukhuwwah, juga tentang kepentingan mentadabbur dan bermuhasabah setiap hari dengan melihat ciptaan Allah SWT dan meminta nasihat dari sahabat-sahabat lain. Sesi bergambar dan bersalaman menjadi aktiviti terakhir sebelum peserta dari kedua-dua bandar bersaudara ini berpisah meneruskan perjalanan masing-masing.
Sesi pagi terakhir peserta perempuan pula diisi dengan aktiviti merekacipta Makhluk X dan perkongsian hasil Creative Shots sebelum disusuli dengan sesi penutup dan sesi bersalaman di antara peserta.
Dalam perjalanan pulang peserta Dunedin telah singgah di Waitaki Lake untuk makan tengahari dan solat, sebelum berhenti sekali lagi di Elephant Rock, The Vanished World berhampiran Duntroon untuk melihat keajaiban batu-batu yang berusia ratusan tahun yang tersusun cantik dengan izin Allah SWT. Manakala bagi peserta Christchurch pula, dalam perjalanan pulang peserta telah berpeluang untuk singgah sebentar di Lake Tekapo sebelum bergerak ke Geraldine untuk makan tengahari dan solat. Kemudian peserta meneruskan perjalanan dan berhenti di beberapa buah tempat di sepanjang perjalanan seperti Mount Hutt dan Darfield untuk bergambar serta menikmati keindahan ciptaan Ilahi.
Alhamdulillah sekitar selepas waktu Isha’ deretan kenderaan peserta mula membelok masuk ke halaman bandar masing-masing menandakan berakhirnya perjalanan 3 hari 2 malam bersama-sama. Dengan seribu satu kenangan, ratusan gambar dan kata-kata pujian dilafazkan atas keindahan Pencipta, berakhirnya perjalanan ini tidak akan menandakan berakhirnya ukhuwah yang telah dibina, dan tidak juga bermakna berakhirnya perjalanan untuk kembali kepada Allah SWT bersama-sama.
Sumber: Laman Web ISMA New Zealand




