|

Siri Kelas Persediaan Pra Azhar diteruskan

Shah Alam, 4 AprilKelas Persediaan Pra Azhar siri ke-3 anjuran Sekretariat Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi telah berjaya diadakan dengan jayanya. Kelas ini telah diadakan di kelas serbaguna Masjid Ubudiyyah, Seksyen 19, Shah Alam dan telah dihadiri para peserta yang datang dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Program telah bermula seawal jam 8.30 pagi. Para peserta mendaftarkan diri di meja pendaftaran dan diteruskan dengan sarapan pagi yang telah disediakan penganjur program. Tepat jam 9.30 pagi, kelas dimulakan dengan sesi pembukaan oleh pengerusi majlis, Ustaz Alauddin b. Kamal dan seterusnya merasmikan program Kelas Pra Azhar siri 3. Beliau mewakili pihak penganjur program meluahkan rasa berbesar hati dengan bilangan para peserta yang begitu ramai sehingga memenuhi 2 buah kelas yang disewa. Ini juga menunjukkan bahawa semakin ramai para belia yang mencintai bidang agama, dan mempunyai cita-cita yang besar di dalam meninggikan agama Islam.

Para peserta dibahagikan mengikut kumpulan yang ditetapkan sebelum sesi taaruf bersama ahli kumpulan atau Ice-breaking. Slot pertama, slot Kuliah Syariah Islamiyah telah disampaikan oleh Ustaz Sulaiman b. Mat Nor. Ustaz Sulaiman menceritakan serba sedikit latar belakang dan tempat beliau belajar ketika di Universiti Al-Azhar dahulu, kemudian menyampaikan sedikit cebisan pelajaran di dalam mata pelajaran bidang Syariah Islamiyah iaitu Tafsir Ayat Ahkam.

Selepas berhenti rehat selama 10 minit, program diteruskan kembali dengan pembentangan slot Usuluddin yang disampaikan Ustazah Nazihah bt. Abd. Rahman, yang baru sahaja beberapa bulan balik dari bumi Mesir. Beliau menyampaikan salah satu tajuk Kuliah Usuluddin, iaitu Ulum Qur’an.  Menariknya, sambil membentangkan tajuk tersebut, beliau menyelitkan beberapa keajaiban dan mukjizat Al-Quran yang dapat kita selami ketika mempelajari tajuk tersebut.

Sebelum masuknya waktu solat Zohor, peserta disajikan dengan makanan tengahhari iaitu Nasi Ayam Shah Alam. Kemudian, program disambung kembali oleh Ustaz Jauhar b. Azmi dengan tajuk Kepentingan Penguasaan Bahasa Arab. Beliau banyak menyentuh mengenai betapa pentingnya para peserta yang juga bakal mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar untuk mendalami dan menguasai dahulu Bahasa Arab sebelum menguasai apa-apa bidang kuliah yang akan diambil nanti.

Para peserta juga disajikan dengan sedikit perkongsian pengalaman yang sangat berharga, disampaikan oleh Ustaz Rizal b. Sabran dan Ustazah Nazihah Abd. Rahman, yang sangat membantu dari segi  persediaan fizikal dan mental para peserta. Amatlah penting buat para peserta membuat persiapan-persiapan tersebut sebelum menjejakkan kaki ke bumi yang penuh cabaran dan dugaan di sebalik timbunan ilmu-ilmu yang ia miliki.

Sebelum program berakhir, Ustaz Alauddin selaku wakil daripada Sekretariat Luar Negara ISMA memberikan sedikit taklimat penting mengenai urusan-urusan ke Mesir dan dokumen-dokumen yang diperlukan, dan selepas itu beliau juga mempromosikan program Selangkah Ke Bumi Anbiya’(SKBA) iaitu program kemuncak kepada Siri Kelas Persediaan Pra Azhar.

Selepas sesi fotografi dan solat Asar, para peserta dijamu dengan makan dan minum petang sebelum program ditutup dengan para peserta bersalaman dan bersurai.